SC Perkenal Garis Panduan Penawaran Sekuriti Hutang yang Disokong Aset

Kuala Lumpur, 10 April 2001

Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini mengeluarkan Garis Panduan Penawaran Sekuriti Hutang yang Disokong Aset (Garis Panduan ABS). Garis Panduan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif SC bagi membangun pasaran bon korporat dan melambangkan satu kemajuan penting dalam pembangunan pasaran modal secara mendalam. Garis Panduan ini telah dirumus selepas perundingan menyeluruh dengan ahli dan para profesional industri.

Pensekuritian Aset

Secara umumnya, pensekuritian aset melibatkan pemindahan aset atau risiko kepada pihak ketiga [biasanya satu perantara kegunaan khas (special purpose vehicle)] yang mana pemindahan sebegini adalah dibiaya dengan terbitan sekuriti hutang yang berkadar tinggi kepada para pelabur. Pembayaran kepada para pelabur dalam sekuriti hutang ini terutamanya diperolehi, secara langsung atau tidak langsung, daripada aliran tunai aset berkenaan. Oleh itu, penarafan kredit hutang sekuriti ini diperolehi daripada kualiti aset pendasar dan bukan penarafan kredit pemilik asal aset berkenaan (biasanya dikenali sebagai "Originator") bagi kes di mana sekuriti hutang diterbitkan oleh syarikat itu sendiri.


Manfaat Pensekuritian

Sebagai satu mekanisme pembiayaan pasaran modal, pensekuritian aset memberikan manfaat yang agak luas sama ada dilihat dari sudut seseorang penerbit atau pelabur, atau daripada perspektif sosial dan ekonomi yang lebih luas.

Daripada perspektif seseorang penerbit, pensekuritian menyediakan satu perantara bagi mengubah aset kewangan yang secara relatifnya tidak cair kepada instrumen pasaran modal yang cair dan boleh didagangkan. Para penerbit juga boleh memperolehi sumber pembiayaan yang lebih cekap dan dengan kos yang lebih rendah oleh kerana struktur pensekuritian aset membenarkan terbitan sekuriti hutang yang membawa penarafan yang lebih tinggi daripada penarafan kredit jangka panjang seseorang Pemilik asal aset. Dengan itu, memberikan kos pembiayaan yang lebih murah bagi penerbit.

Kepelbagaian dan kelonggaran syarat-syarat kredit, kematangan dan pembayaran yang tersedia melalui struktur pensekuritian memberikan pelabur pilihan produk pendapatan tetap yang lebih luas dalam pasaran Malaysia.

Pewujudan pasaran pensekuritian sekunder yang cair dan cekap juga memberi kesan terhadap peningkatan pilihan pembiayaan yang tersedia dan juga mengurangkan kos pembiayaan dalam pasaran utama. Ia juga akan menggalakkan peruntukan modal yang cekap dengan menjadikan aktiviti pemberian kredit tertakluk kepada disiplin pasaran modal dalam peletakan harga dan penilaian.


Garis Panduan Penawaran Sekuriti Hutang yang Disokong Aset

Dengan mengguna pakai pendekatan berteraskan penzahiran, Garis Panduan tersebut bertujuan menentukan kriteria yang jelas dan telus yang mana peserta pasaran boleh memahami keperluan SC sebelum sebarang kelulusan yang diberikan bawah seksyen 32 Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 untuk penawaran mana-mana sekuriti hutang yang disokong aset.

SC adalah komited ke arah proses terbitan yang cepat bagi sekuriti hutang yang disokong aset. Oleh kerana mana-mana terbitan sekuriti hutang yang disokong aset mesti mematuhi kedua-dua Garis Panduan SC mengenai Penawaran Sekuriti Hutang Swasta (Garis Panduan PDS) serta Garis Panduan ABS, tempoh kelulusan maksimum yang diambil oleh SC adalah 28 hari bekerja bagi kedua-dua Garis Panduan tersebut.

Kriteria dalam Garis Panduan baru ini mentadbir pelbagai aspek dan pihak yang terlibat dalam urus niaga pensekuritian, manakala urus niaga yang membabitkan terbitan sekuriti hutang ditadbir secara berasingan oleh Garis Panduan PDS.

Kriteria: Aset yang boleh disekuritikan

Aset yang layak disekuritikan mesti menghasilkan aliran tunai. Pemilik asal aset mesti juga mempunyai kepentingan yang sah dan boleh dikuatkuasakan dalam aset dan aliran tunai aset tersebut sebelum mana-mana urus niaga pensekuritian.

Kriteria: Keperluan bagi "Pemilik Asal Aset" dan "Kriteria Jualan Sebenar"

Pemilik asal aset sendiri mesti wujud pada tarikh pemindahan mana-mana aset kepada perantara kegunaan khas. Tambahan lagi, mana-mana pemindahan aset oleh pemilik asal kepada perantara kegunaan khas mesti mematuhi kriteria "jualan sebenar". Ini bermakna bahawa aset yang dipindahkan kepada perantara kegunaan khas daripada Pemilik asal mesti diletakkan agar tidak diperolehi oleh Pemilik asal dan pemiutangnya walaupun di peringkat kemungkinan kuasa penerima atau kemuflisan. Bagi memastikan ini, Pemilik asal mesti memindahkan secara efektif semua hak dan obligasi dalam aset kepada perantara kegunaan khas dan mesti tidak memegang apa-apa baki kepentingan yang bermanfaat dalam aset-aset ini. Sebaliknya, perantara kegunaan khas tersebut mesti tidak mempunyai tuntutan kepada Pemilik aset atas kerugian yang timbul daripada aset tersebut.


Kriteria: Keperluan bagi Perantara Kegunaan Khas

Perantara kegunaan khas mesti "bebas dari kemuflisan" dan dengan itu ia hendaklah tidak menjalankan mana-mana aktiviti perniagaan selain daripada yang berkaitan dengan urus niaga pensekuritian Oleh itu, ia hendaklah hanya memegang aset tersebut, menerbitkan sekuriti hutang yang disokong aset dan memastikan pengurusan yang sesuai ke atas aliran tunai yang berbangkit daripada aset tersebut yang mana pembayaran yang tepat pada masa dibuat kepada pemegang sekuriti yang disokong aset itu. Bagi memastikan bahawa perantara kegunaan khas boleh dipertimbangkan bagi pengecualian duti setem dan cukai keuntungan hartanah sebenar, di mana terpakai, perantara kegunaan khas tersebut mesti berada di Malaysia.


Pengecualian Cukai Keuntungan Hartanah Sebenar dan Duti Setem

Menurut pengumuman Belanjawan 2001, urus niaga pensekuritian aset yang mematuhi sepenuhnya Garis Panduan ABS SC adalah layak bagi pengecualian cukai keuntungan hartanah sebenar dan duti setem, di mana terpakai.

Keperluan Penzahiran

Bagi memastikan bahawa para pelabur mempunyai maklumat yang berkaitan dan yang diperlukan bagi membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat, Garis Panduan tersebut juga menyatakan bahawa satu memorandum maklumat mesti disediakan kepada pelabur sebelum pelaburan mereka dalam sekuriti yang disokong aset. Maklumat minimum yang diperlukan dalam satu-satu memorandum maklumat juga dinyatakan dalam Garis Panduan tersebut. Beberapa maklumat ini termasuk, tetapi tidak dihadkan kepada, penzahiran faktor risiko melabur dalam sekuriti hutang yang disokong aset, keterangan terperinci mengenai struktur urus niaga pensekuritian dan semua perjanjian penting yang berkaitan dengan struktur dan penjelasan terperinci mengenai aliran dana.

Garis Panduan ABS boleh didapati di laman web SC di www.sc.com.my

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup