SC Perkenal Garis Panduan Tawaran Produk Berstruktur

Kuala Lumpur, 10 Disember 2003

Suruhanjaya Sekuriti (SC) mengumumkan Garis Panduan Tawaran Produk Berstruktur (“Guidelines on the Offering of Structured Products” (Garis Panduan SP) hari ini. Pengenalan garis panduan ini akan memudahkan broker universal, bank saudagar, bank perdagangan termasuk bank Islam dan Perantara Kegunaan Khas prestasi terjamin yang diwujudkan oleh mana-mana institusi tersebut, untuk menerbitkan “produk berstruktur” untuk memenuhi keperluan pelabur sofistikated.

Garis Panduan SP akan memudahcarakan pewujudan produk sofistikated untuk memenuhi keperluan pasaran modal Malaysian yang juga semakin sofistikated. Garis Panduan SP dirumus selepas perundingan terperinci bersama profesional industri. Ia melengkapi usaha yang dijalankan di bawah Pelan Induk Pasaran Modal (CMP) untuk mengembangkan rangkaian produk dan perkhidmatan kepada penerbit dan pelabur dan untuk memberi lebih kelonggaran kepada perantara pasaran dalam menawarkan nilai perkhidmatan yang lebih tinggi kepada pelanggan mereka.

Produk berstruktur ialah produk hibrid yang biasanya diterbitkan sebagai Nota-nota yang disokong oleh prestasi aset rujukan sandaran pasaran sekunder seperti ekuiti, bon, indeks, komoditi dan mata wang atau kombinasi aset-aset berkenaan. Tanggungjawab penerbit untuk membayar semula dana yang dijana daripada Nota yang diterbitkan adalah bergantung sepenuhnya kepada prestasi aset rujukan sandaran. Kontrak opsyen selalunya terkandung dalam struktur Nota-nota ini. Contoh produk di bawah Garis Panduan SP ialah Nota Berkait Ekuiti, Nota Berkait Bon, Nota Berkait Indeks, Nota Berkait Mata Wang, Nota Berkait Komoditi (Kontrak) dan Nota Berkait Kredit.

Produk ini menyediakan alternatif pelaburan yang lebih dipelbagaikan dan berpotensi memberikan pulangan yang lebih tinggi kepada pelabur yang layak. Setara dengan kerumitan dan potensi risiko yang lebih tinggi bagi produk berstruktur, garis panduan tersebut juga mengandungi aspek-aspek perlindungan pelabur. Bagi memastikan perlindungan pelabur, Garis Panduan SP menghendaki keperluan penzahiran maklumat tambahan ke atas penerbit dan penasihat, jika perlu, untuk memaklumkan faktor risiko melabur dalam produk berstruktur. Pelabur yang layak bagi produk berstruktur adalah terhad kepada pihak sofistikated atau yang bermodal tinggi yang dirujuk dalam Jadual 2 dan 3 Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993.

Penerbit yang menawarkan produk berstruktur Islam yang memerlukan kelulusan SC mesti melantik penasihat Syariah bebas yang diluluskan oleh SC dan dikehendaki memastikan penggunaan prinsip-prinsip dan konsep Syariah yang konsisten dengan penggunaan yang diluluskan oleh Majlis Penasihat Syariah SC.

Garis Panduan SP mengecualikan dagangan produk berstruktur yang tidak boleh niaga tertentu daripada mendapatkan kelulusan SC terlebih dahulu, sebagaimana yang ditetapkan dalam perenggan 2.03 dan 2.04. Namun, dagangan sedemikian masih perlu mematuhi keperluan untuk mendapatkan kelulusan pengawal selia lain, keperluan mengemukakan pemberitahuan pascapenerbitan suku tahun kepada SC dan keperluan mengguna pakai amalan terbaik dagangan saksama.

Garis Panduan SP boleh didapati di tapak web SC di sini.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup