SC Perkenal Inisiatif untuk Meningkatkan Daya Saing, Menambah Baik Kecekapan Industri Unit Amanah
19 Julai 2016|   Kuala Lumpur
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengumumkan inisiatif baharu untuk meningkatkan daya saing dan kecekapan industri unit amanah Malaysia.

Pindaan kepada garis panduan yang berkaitan yang mencerminkan inisiatif ini akan berkuat kuasa pada 15 Ogos 2016. Perubahan-perubahan penting termasuk proses kelulusan yang dipercepatkan bagi tabung unit amanah runcit bukan kompleks[1] untuk mengurangkan masa ke pasaran dan memansuhkan keperluan bagi prospektus diperbaharui pada setiap tahun untuk meningkatkan kecekapan operasi.

Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan SC untuk menambah baik proses kelulusan dan pemberian kebenaran bagi pasaran yang lebih efisien tanpa menjejaskan kepentingan pelabur, SC telah meliberalisasikan sistem pemberian kebenaran untuk produk borong, termasuk dana borong, dengan pengenalan rangka kerja Serah dan Simpan pada 2015. Menggunakan prinsip keberkadaran kawal selia, SC akan memperkenalkan proses pemberian kebenaran yang dipercepatkan bagi dana bukan kompleks yang akan mengurangkan masa ke pasaran.

Perundingan dengan pihak industri dan Persekutuan Pengurus Pelaburan Malaysia telah menyokong pandangan SC bahawa penerbit unit amanah patut diberikan lebih kelonggaran dalam menawarkan dana kepada pelabur, dan pada masa yang sama memperkasa pihak industri agar lebih bertanggungjawab dengan menggalakkan disiplin kendiri dan disiplin pasaran. Para pelabur juga akan meraih manfaat daripada proses baharu ini apabila penerbit boleh memberi tumpuan semula usaha mereka untuk membawa lebih banyak penawaran produk ke pasaran dalam tempoh yang lebih singkat.

Pada masa ini, tempoh pemberian kebenaran untuk dana unit amanah runcit mengambil masa sehingga tiga bulan kerana tempoh 15 hari perniagaan proses pemberian kebenaran hanya bermula selepas semua maklumat lengkap diterima. Dengan rangka kerja yang dipercepatkan ini, permohonan untuk dana runcit bukan kompleks akan menerima pemberian kebenaran daripada SC dalam tempoh 10 hari selepas dikemukakan. Pemohon adalah bertanggungjawab untuk memastikan permohonan adalah lengkap dan tepat ketika dikemukakan dan SC akan memberi kebenaran kepada dana mereka berdasarkan pengemukaan tersebut. Rangka kerja pemberian kebenaran yang sedia ada akan terus terpakai untuk semua jenis dana runcit yang lain.

Selain penambahbaikan dalam proses kelulusan, tempoh sah 12 bulan prospektus juga akan dimansuhkan. Penerbit tidak lagi perlu menerbitkan semula dan mencetak semula prospektus setiap tahun dan akan mendapat manfaat daripada penjimatan kos penerbitan semula. Dengan pindaan tersebut, penerbit akan hanya dikehendaki menyediakan maklumat terkini mengenai sebarang perubahan dalam prospektus melalui pemberitahuan, prospektus tambahan atau jika perlu, prospektus gantian. Ini juga akan membantu memastikan perubahan dimaklumkan kepada pelabur dan mereka menerima maklumat tersebut dengan segera. Maklumat tertentu yang sebelum ini dinyatakan dalam prospektus seperti maklumat mengenai prestasi dana akan dinyatakan dalam Lembaran Maklumat Produk yang disediakan bagi pelabur untuk membolehkan mereka membuat keputusan pelaburan berdasarkan maklumat.

Garis panduan yang berkaitan iaitu Guidelines on Unit Trust Funds, Prospectus Guidelines for Collective Investment Schemes dan Guidelines on Sales Practices of Unlisted Capital Market Products serta soalan-soalan lazim, termasuk kaedah proses pemberian kebenaran yang dipercepatkan itu, disediakan untuk rujukan di laman sesawang SC di www.sc.com.my.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA


Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup