Rangka Kerja Serah Simpan dan Lancar bertujuan untuk menyingkatkan tempoh ke pasaran dengan membolehkan produk-produk borong dilancarkan apabila maklumat yang diperlukan telah dikemukakan kepada SC melalui sistem penyerahan dalam taliannya, berbanding tempoh masa kelulusan 14-21 hari yang sedia ada. Produk borong di bawah rangka kerja terserbut termasuk dana-dana borong, produk berstruktur, bon, sukuk dan sekuriti bersandarkan aset.
Pengenalan rangka kerja ini adalah sejajar dengan falsafah pengawalseliaan SC yang baharu yang menggalakkan keberkadaran kawal selia dan mempamerkan kematangan pasaran modal Malaysia dan kecanggihan pelabur dalam pasaran borong.
Dengan adanya liberalisasi ini, SC akan meningkatkan tumpuannya terhadap pengawalseliaan tatalaku dan pemantauan produk bagi memastikan semua pihak yang terlibat dalam pasaran borong melaksanakan ketekunan wajar dan obligasi penzahiran serta mendukung prinsip layanan yang adil kepada pelabur.
Garis Panduan bertajuk Guidelines for the Lodge and Launch framework menggantikan garis panduan sedia ada bagi pelbagai produk borong. Garis Panduan, Kit Pengemukaan dan set soal jawab mengenainya sebagai rujukan boleh didapati di laman sesawang SC di www.sc.com.my.