SC perkenal rangka kerja kawal selia bagi memudahcara pembiayaan antara rakan setara
13 April 2016|   Kuala Lumpur
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengumumkan rangka kerja kawal selia bagi pembiayaan antara rakan setara (peer-to-peer – P2P), yang menyatakan keperluan untuk pendaftaran platform P2P sebagaimana yang ditetapkan dalam Guidelines on Recognized Markets yang telah dipinda.

Pengenalan Bab 13 baharu dalam Garis Panduan tersebut menetapkan tugas dan tanggungjawab pengendali P2P, jenis penerbit dan pelabur yang boleh mengambil bahagian dalam P2P.

Rangka kerja P2P akan membolehkan syarikat milik tunggal, perkongsian, perkongsian yang ditubuhkan dengan liabiliti terhad, syarikat sendirian berhad dan syarikat awam tidak tersenarai, mendapatkan pembiayaan berasaskan pasaran bagi projek-projek atau perniagaan mereka melalui platform elektronik.

Pihak-pihak yang berminat untuk mengendalikan platform P2P boleh mengemukakan permohonan mereka kepada SC bermula 2 Mei 2016. Mereka mestilah diperbadankan di negara ini dan mempunyai modal berbayar minimum sebanyak RM5 juta.

Garis Panduan tersebut juga menetapkan bahawa lembaga pengarah pengendali mestilah layak dan wajar. Obligasi berterusan yang dikenakan ke atas pengendali P2P seperti memastikan pematuhan terhadap peraturan platform, mempunyai sistem penskoran risiko yang cekap dan telus bagi penerbit dan pengaturan luar jangka bagi memastikan kesinambungan perniagaan.

Bagi melindungi pelabur, pengendali P2P perlu memastikan bahawa wang daripada para pelabur dimasukkkan ke dalam satu akaun amanah sehingga jumlah sasaran minimum diperolehi. Apabila penerbit membuat pembayaran balik kepada pelabur, pengendali P2P juga bertanggungjawab untuk memasukkan wang pelabur dalam akaun amanah. Bagi membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan bermaklumat dan memahami risiko pelaburan mereka, pengendali P2P mesti menyediakan semua maklumat yang berkaitan kepada pelabur.

Tiada had pelaburan yang dikenakan ke atas pelabur sofistikated dan pelabur syarikat baharu manakala pelabur runcit adalah dinasihatkan untuk mengehadkan pendedahan pelaburan mereka dalam P2P kepada jumlah maksimum sebanyak RM50,000 pada satu-satu masa.

Rangka kerja P2P merupakan sebahagian daripada usaha berterusan SC untuk menyediakan akses kepada pembiayaan berasaskan pasaran melalui aplikasi penyelesaian teknologi. Pada 2015, Malaysia menjadi negara pertama di ASEAN yang memperkenalkan rangka kerja kawal selia bagi memudahcarakan pendanaan masyarakat berasaskan ekuiti, dengan enam platform pendanaan masyarakat berasaskan ekuiti yang berdaftar dijangka akan beroperasi sepenuhnya pada 2016.

Guidelines on Recognized Markets yang dipinda boleh didapati di laman sesawang SC, www.sc.com.my dan akan berkuat kuasa pada 2 Mei 2016.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA


Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup