SC Perkenal Taksonomi Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab Berasaskan Prinsip bagi Pasaran Modal Malaysia

Taksonomi SRI memperkukuh peranan pasaran modal dalam memacu matlamat iklim negara dan kemampanan

Kuala Lumpur, 12 Disember 2022

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini melancarkan Taksonomi Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab Berasaskan Prinsip bagi Pasaran Modal Malaysia (Taksonomi SRI) untuk membantu memajukan agenda iklim dan kemampanan negara.

Taksonomi SRI menyediakan prinsip panduan universal untuk klasifikasi aktiviti ekonomi yang layak untuk pelaburan mampan.

Ia bertujuan memberi penjelasan lanjut ke arah pengenalpastian dan klasifikasi yang tepat serta konsisten bagi pelbagai jenis aktiviti ekonomi termasuk definisi pelaburan mampan. Selain itu, ia juga bertujuan menangani kebimbangan mengenai keperluan mengurangkan dan mengurus risiko pencucian hijau (greenwashing).

“Perkembangan global pelaburan mampan telah mewujudkan permintaan untuk kejelasan lanjut dan bantuan untuk pemain pasaran dalam mengenal pasti aktiviti ekonomi yang sejajar dengan objektif alam sekitar, sosial dan kemampanan,” kata Pengerusi SC Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin.

"Taksonomi SRI menggunapakai pendekatan berasaskan prinsip bagi meningkatkan penyeragaman dan kebolehbandingan aset pelaburan mampan," katanya. "Ini dilakukan selepas mempertimbangkan keadaan kesediaan pasaran modal Malaysia yang lebih luas, kerana tahap kematangan konstituen-konstituen pasaran modal tersebut berada di tahap berbeza-beza dalam hala tuju kemampanan mereka."

Memandangkan kedudukan kukuh Malaysia dalam kewangan Islam dan penjajaran prinsip asas kewangan Islam dengan kemampanan, khususnya dari perspektif pelaburan sosial dan etika, Taksonomi SRI juga merangkumi komponen sosial sebagai tambahan kepada komponen alam sekitar.

Pembangunan Taksonomi SRI telah dilaksanakan oleh SC, dengan kerjasama industri melalui Kumpulan Kerja Industri (IWG). IWG terdiri daripada Hab Pertumbuhan Inklusif dan Kewangan Mampan Kumpulan Bank Dunia di Malaysia sebagai Pakar Teknikal Utama, dan wakil dari Bursa Malaysia, syarikat pengurusan aset dan dana, bank pelaburan, pemilik aset dan pakar kewangan mampan yang lain.

Pengurus Negara Bank Dunia untuk Malaysia Yasuhiko Matsuda berkata, “Kami berterima kasih atas peluang untuk menyokong SC dalam membangunkan rangka kerja dalam membantu merealisasikan modal bagi keutamaan pembangunan mampan. Taksonomi ini juga boleh membantu negara lain yang menghadapi cabaran yang sama dalam peralihan ke arah pelaburan yang bertanggungjawab secara sosial dan peralihan iklim yang adil."

SC juga telah menerbitkan Kertas Maklum Balas Awam hari ini berikutan pengeluaran Kertas Perundingan Awam No.1/2021 mengenai Taksonomi Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab Berasaskan Prinsip bagi Pasaran Modal Malaysia pada Disember 2021.

Kedua-dua Taksonomi SRI dan Kertas Respons Awam boleh didapati di laman web SC di https://www.sc.com.my/development/sri.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup