SC Pertingkat Kerangka Kerja Terbitan Hak

Lebih Penzahiran dan Pendaftaran yang Lebih Cepat bagi Prospektus Ringkas

Kuala Lumpur, 14 Disember 2006

Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini mengumumkan langkah untuk mempertingkat kerangka kerja terbitan hak di Malaysia. Lebih penzahiran kini diperlukan ke atas peruntukan lebihan saham terbitan hak dalam prospektus ringkas. SC juga telah memendekkan tempoh masa pendaftaran prospektus ringkas dari tujuh kepada satu hari pasaran.

Di bawah amalan industri terkini, asas bagi peruntukan lebihan saham terbitan ditentukan hanya selepas tarikh akhir penerimaan terbitan hak dan tidak dimaklumkan kepada pemegang saham. Selepas mempertingkat kerangka kerja terbitan hak yang terkini ini, asas petunjuk peruntukan bagi lebihan saham terbitan perlu dinyatakan di sebelah hadapan prospektus ringkas.

Keperluan penzahiran yang dipertingkat bagi peruntukan lebihan saham terbitan hak dalam prospektus ringkas adalah bertujuan memperbaiki ketelusan dan kesedaran di kalangan pemegang saham dan pelabur sebelum mereka memohon bagi lebihan saham tersebut.

SC akan memantau dalam memastikan pematuhan oleh pihak industri terhadap keperluan penzahiran dalam prospektus ringkas yang dipertingkat tersebut serta peruntukan lebihan saham terbitan hak yang adil dan sama rata.

SC telah meminda garis panduan bertajuk "Prospectus Guidelines–Abridged Prospectus" (Garis Panduan AP) untuk melaksanakan perubahan ini, yang berkuat kuasa pada 15 Januari 2007.

Pindaan terkini kepada Garis Panduan AP ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan SC untuk mempertingkat kerangka kerja terbitan hak. Sebelum ini, pada 25 Ogos 2006, SC telah mengurangkan tempoh masa kelulusan bagi cadangan terbitan hak yang dikemukakan secara bersendirian oleh syarikat tersenarai dari 21 hari bekerja kepada lima hari bekerja.

Peningkatan kepada kerangka kerja terbitan hak tersebut menyokong usaha SC untuk terus memperbaiki kecekapan, keberkesanan dan ketelusan proses penjanaan dana.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup