SC Promosi Minggu Pelabur Sedunia IOSCO
5 Oktober 2017   |   Kuala Lumpur
Pertubuhan Antarabangsa Suruhanjaya Sekuriti (IOSCO) melancarkan Minggu Pelabur Sedunia (WIW)nya yang pertama dari 2 hingga 8 Oktober 2017 untuk menggalakkan lagi pendidikan dan perlindungan pelabur di seluruh dunia. Sepanjang minggu tersebut, pengawal-pengawal selia sekuriti dari lebih 80 negara di seluruh dunia menganjurkan pelbagai aktiviti untuk meningkatkan kesedaran tentang pendidikan dan perlindungan pelabur di negara masing-masing.
Sebagai sokongan kepada WIW, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) akan menjalankan dua inisiatif. Bagi meningkatkan kesedaran mengenai peningkatan jumlah penipuan dan skim pelaburan haram yang dilaporkan, SC akan menayangkan satu video mengenai kesedaran untuk membanteras penipuan iaitu, 'video T.I.P.U' di pawagam-pawagam TGV terpilih di seluruh negara mulai sekarang sehingga 11 Oktober 2017. Penayangan `video T.I.P.U' merupakan sebahagian daripada inisiatif pendidikan pelabur SC di bawah InvestSmartĀ® dan bertindak untuk menyampaikan mesej kepada orang ramai mengenai kaedah penipuan yang digunakan dan memaklumkan orang ramai mengenai saluran bantuan yang tersedia sekiranya mereka ragu-ragu.

Hari ini SC juga mengadakan sembang Facebook secara langsung yang mengetengahkan perbincangan panel mengenai perancangan kewangan, bertemakan "FinPlan4U - Selangkah Menuju Kesejahteraan Kewangan". Sesi sembang secara langsung tersebut menampilkan pakar-pakar dari SC, Persatuan Perancangan Kewangan Malaysia (FPAM) serta perancang kewangan yang memenangi anugerah mengenai manfaat dalam berurusan dengan perancang kewangan ke arah menjamin masa depan kewangan.

Pada 13 - 15 Oktober 2017, SC akan menganjurkan acara tahunan utamanya, InvestSmart Fest 2017 (ISF 2017) bertemakan "Melabur Untuk Masa Depan Anda" di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (Dewan Pameran 5) yang akan mengumpulkan institusi-institusi, persatuan pasaran modal, peserta industri serta agensi yang berkaitan di bawah satu bumbung untuk meningkatkan kesedaran tentang peluang pelaburan yang wujud dalam pasaran modal Malaysia. Orang ramai boleh mendaftar bagi mendapatkan penilaian awal percuma daripada perancang kewangan berlesen ketika ISF 2017 dengan menghantar nama, nombor kad pengenalan dan butiran perhubungan melalui emel kepada [email protected]. Tempat duduk adalah terhad.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Ooops!
Generic Popup