Acara kemuncak ialah Bersama InvestSmart® @Pulau Pinang 2023
1, iaitu pameran pendidikan pelabur utama SC yang pertama kali diadakan di negeri ini.
Acara yang berlangsung selama tiga hari mulai 26 Mei 2023 ini, bertujuan untuk mempromosi pendidikan pelabur dan celik kewangan bagi membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan termaklum dan mengelakkan penipuan dan skim haram.
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow merasmikan majlis pembukaan acara itu yang diadakan di Queensbay Mall, Bayan Lepas, petang tadi. Majlis turut dihadiri oleh pegawai kanan kerajaan negeri dan pemimpin pasaran modal dan industri kewangan.
Bertemakan ‘Silap Labur Duit Lebur’, acara itu menampilkan lebih 35 peserta pameran termasuk Rangkaian Pendidikan Kewangan (FEN), Bursa Malaysia Berhad, Persekutuan Pengurus Pelaburan Malaysia (FIMM), Pentadbir Pencen Swasta (PPA) dan beberapa pemain industri pasaran kewangan dan modal.
Pengerusi SC Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin berkata pada majlis perasmian itu bahawa Pulau Pinang dijangka memainkan peranan yang lebih besar dalam pembangunan ekonomi negara dan pasaran modal.
“Pulau Pinang mempunyai beberapa syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia, dengan sebanyak 85 syarikat disenaraikan di Pasaran Utama, ACE dan Leap. Sebuah lagi syarikat berpangkalan di Pulau Pinang juga dijangka akan disenaraikan secara umum sebelum akhir suku ini,” katanya.
“Menjelang akhir 2022, lebih 470 syarikat Pulau Pinang telah mengumpul lebih RM193 juta menggunakan platform kewangan alternatif seperti pembiayaan ekuiti ramai
(ECF) dan pembiayaan rakan sebaya (P2P),” katanya. “Oleh itu, kami percaya bahawa pasaran modal boleh memainkan peranan penting dalam merealisasikan potensi penuh ekonomi Pulau Pinang.”
Dato’ Seri Dr. Awang Adek menambah bahawa dengan menyediakan akses kepada pembiayaan dan peluang pelaburan, ia akan membolehkan pasaran modal membantu perniagaan tempatan, terutamanya PKS, mengembangkan dan melengkapkan ekosistem ekonomi Pulau Pinang.
Selain Bersama InvestSmart® @Penang 2023, SC juga telah menganjurkan program jangkauan lain di Pulau Pinang minggu ini.
Ini termasuk NaviGate: Siri Pembiayaan Hijau Pasaran Modal (NaviGate) dan bengkel oleh Pasaran Modal Malaysia, badan-badan bersekutu SC, mengenai Gabungan Amalan Mampan dalam Rantaian Bekalan.
Program NaviGate telah diadakan pada 25 Mei 2023, untuk mewujudkan kesedaran yang lebih luas mengenai pembiayaan pasaran modal, termasuk saluran pembiayaan alternatif seperti platform pembiayaan ECF dan P2P untuk perniagaan di Pulau Pinang dalam memenuhi keperluan pembiayaan hijau dan kemampanan mereka.
Ini merupakan program NaviGate kedua yang diadakan tahun ini, berikutan program serupa yang diadakan di Johor pada Mac tahun ini. Ia menarik kira-kira 100 peserta daripada komuniti perniagaan Johor.
Program-program ini sebahagian daripada inisiatif SC untuk menyokong pertumbuhan perniagaan, juga sejajar dengan usaha kerajaan negeri Johor dan Pulau Pinang dalam memajukan industri PKS mereka berdasarkan ekonomi hijau dan kemampanan.
Lebih 15,000 orang dijangka melawat InvestSmart® di Pulau Pinang. Dalam acara tiga hari itu, akan ada ceramah umum percuma dan perbincangan panel oleh pakar industri pasaran kewangan dan modal.
Pihak penganjur juga telah menyediakan lebih 200 sesi perancangan kewangan secara bersemuka dengan percuma untuk membantu orang ramai mengetahui lebih lanjut mengenai perancangan kewangan dan persaraan yang baik. Sesi ini adalah sebahagian daripada inisiatif #FinPlan4U.
Bersama InvestSmart® @Pulau Pinang turut diadakan sempena Minggu Latihan Kebangsaan anjuran Kementerian Sumber Manusia dan HRD Corp.