SC Saman Dua Individu Kerana Dagangan Orang Dalam Saham GW Plastics
3 Oktober 2017   |   Kuala Lumpur
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah memfailkan saman sivil di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap dua individu kerana dagangan orang dalam yang melibatkan saham GW Plastics Holdings Bhd (GW Plastics).
Lim Kok Boon dan Cheah Mean Har didakwa terlibat dalam dagangan orang dalam saham GW Plastics pada September 2012.

Dalam saman yang difailkan pada 28 September 2017, SC mendakwa Lim telah menyampaikan maklumat material bukan awam kepada Cheah, yang melanggar seksyen 188(3)(a) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007. SC mendakwa Cheah kemudiannya membeli saham GW Plastics ketika memiliki maklumat material bukan awam yang melanggar seksyen 188(2)(a) CMSA.

Maklumat material yang dinyatakan dalam tindakan tersebut adalah berkaitan dengan cadangan Perjanjian Penjualan Saham antara GW Plastics dan Scientex Packaging Film Sdn Bhd serta cadangan pengagihan kutipan tunai yang diperolehi daripada Perjanjian Penjualan Saham kepada para pemegang saham GW Plastics. Maklumat tersebut telah diumumkan oleh GW Plastics kepada Bursa Malaysia pada 3 Oktober 2012. Lim merupakan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Bukan Bebas GW Plastics pada ketika itu.

SC memohon pembayaran tiga kali keuntungan yang telah diperolehi daripada dagangan orang dalam tersebut dan penalti sivil sebanyak RM1 juta dari setiap defendan.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Ooops!
Generic Popup