SC Saman Lima Individu Kerana Menyebabkan Kerugian Salah Berjumlah RM120.6 Juta kepada Empat Syarikat Tersenarai Awam

Kuala Lumpur, 12 Disember 2022

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) pada 29 November 2022 memfailkan tindakan sivil di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap lima individu kerana didakwa melakukan skim untuk memfraud dan/atau menyebabkan kerugian secara salah bernilai RM120.6 juta kepada empat syarikat tersenarai awam.

Lima individu itu ialah Tey Por Yee, Lim Chye Guan, See Poh Yee, Francis Tan Hock Leong dan Faizatul Ikmi binti Abdul Razak.

Syarikat terbabit ialah Nexgram Holdings Berhad, R&A Telecommunication Group Berhad, Asdion Berhad dan Ire-Tex Corporation Berhad.

SC mendakwa bahawa Tey, Lim, See dan Tan, dalam kapasiti pelbagai mereka sebagai pengarah dan pegawai empat syarikat tersenarai awam tersebut, telah menyalurkan hasil usaha pendanaan syarikat-syarikat itu, manakala Faizatul Ikmi bersubahat atau melanjutkan penyaluran tersebut.

Perlakuan individu-individu tersebut berlaku di antara Disember 2013 dan Julai 2014, dan melanggar seksyen 317A dan 179 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).

Di bawah seksyen 317A CMSA, pengarah atau pegawai perbadanan tersenarai tidak boleh melakukan apa-apa dengan niat menyebabkan kerugian secara salah kepada perbadanan tersenarai itu. Di bawah seksyen 179, seseorang dilarang daripada terlibat dalam penipuan atau perdayaan untuk pelangganan, pembelian atau penjualan mana-mana sekuriti.

Bagi mengelakkan penyelapan aset defendan, SC pada 1 Disember 2022, telah mendapatkan injunksi daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menghalang Tey, Lim, See dan Faizatul Ikmi daripada berurusan dengan wang dalam akaun bank mereka masing-masing. SC tidak memohon injunksi terhadap Tan kerana beliau adalah seorang muflis yang belum dilepaskan.

SC telah memohon pelbagai perintah, termasuk perintah bahawa defendan:

  1. telah melanggar seksyen 179 dan 317A CMSA;
  2. membayar kepada SC seperti berikut:
    1. penyerahan kembali semua hasil yang diperoleh daripada pelanggaran seksyen-sekyen ini, menurut seksyen 200 dan 360 Akta yang sama; dan
    2. penalti sivil sebanyak RM1 juta setiap satu, atau jumlah yang difikirkan sesuai oleh Mahkamah, mengikut seksyen 200(2) CMSA; dan
  3. dihalang daripada menjadi pengarah mana-mana syarikat tersenarai awam, dan daripada berdagang di mana-mana bursa saham atau bursa derivatif, untuk tempoh sepuluh tahun.

Mahkamah Tinggi telah pada asalnya menetapkan 12 Disember 2022 bagi defendan-defendan memberikan respons terhadap permohonan injunksi itu. Namun, akibat ketidakhadiran defendan-defendan, Mahkamah Tinggi telah membenarkan suatu injunksi ad interim dan menetapkan 9 Januari 2023 untuk respons daripada defendan-defendan.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup