SC Saman Timbalan Pengarah Urusan Syarikat Awam Tersenarai Stone Master Kerana Kerugian Salah
13 Oktober 2016|   Kuala Lumpur
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) baru-baru ini memfailkan saman terhadap Datin Chan Chui Mei, Timbalan Pengarah Urusan, Stone Master Corporation Bhd (Stone Master) kerana didakwa menyebabkan kerugian secara salah kepada syarikat tersenarai tersebut.

Dalam tuntutan itu, SC mendakwa Stone Master telah mengadakan beberapa perjanjian agensi dengan 23 syarikat asing bagi hak eksklusif untuk memasarkan dan mempromosi, di Malaysia dan Singapura, produk syarikat-syarikat asing tersebut. Sebagai balasan bagi hak eksklusif tersebut, Stone Master telah membayar beberapa wakil tempatan 23 syarikat asing tersebut sejumlah RM11.59 juta dalam bentuk deposit tidak boleh dikembalikan. SC mendakwa bahawa daripada RM11.59 juta, sejumlah RM11.54 juta kemudiannya telah dibayar oleh wakil-wakil tempatan tersebut ke dalam akaun peribadi Datin Chan, yang melanggar seksyen 179 dan 317A(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).

Seksyen 179 CMSA melarang mana-mana individu menggunakan apa-apa peranti manipulasi untuk pelangganan, pembelian atau penjualan mana-mana sekuriti. Di bawah seksyen 317A, seseorang pengarah atau pegawai syarikat tersenarai tidak boleh melakukan sesuatu dengan niat menyebabkan kerugian secara salah kepada syarikat tersebut.

Bagi mengelakkan pelesapan wang sejumlah RM11.54 juta yang dibayar ke dalam akaun bank Datin Chan, pada 28 September 2016, SC telah mendapatkan injunksi daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menghalang Datin Chan berurusan dengan wang yang berjumlah RM11.54 juta di dalam akaunnya. Ketika membenarkan injunksi tersebut, Mahkamah Tinggi juga telah memerintahkan Datin Chan untuk memberi butiran akaun bagi jumlah RM11.54 juta yang diterimanya.

Dalam saman tersebut, SC memohon pelbagai perintah, termasuk perintah bahawa Datin Chan:

a. telah melanggar seksyen 179 dan 317A CMSA;
b. membuat restitusi kepada mereka yang mengalami kerugian akibat pelanggaran tersebut;
c. membayar kepada SC jumlah RM11.54 juta tersebut, yang akan dipegang sebagai amanah bagi Stone Master; dan
d. dihalang daripada menjadi pengarah syarikat awam tersenarai bagi tempoh lima tahun.

SC juga memohon tindakan penalti sivil sejumlah RM1 juta terhadap Chan.

Mahkamah Tinggi telah menetapkan 14 Oktober 2016 baginya untuk memberi respons terhadap permohonan injunksi tersebut.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA


Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup