SC Saman Tujuh Individu Kerana Manipulasi Saham-saham DVM Tech
22 Julai 2014   |   Kuala Lumpur
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap tujuh individu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana manipulasi saham DVM Technology Bhd (DVM).

Dalam tindakan tersebut, SC mendakwa bahawa pihak defendan telah, dalam tempoh satu minggu dari 14 Mac 2006 hingga 21 Mac 2006, secara aktif memperdagangkan saham-saham DVM di kalangan mereka, menyebabkan harga saham itu meningkat secara palsu daripada RM0.11 pada 14 Mac 2006 kepada RM0.32 pada 20 Mac 2006. SC mendakwa bahawa tindakan pihak defendan itu telah mewujudkan keadaan yang mengelirukan terhadap dagangan aktif saham-saham DVM serta harga saham-saham tersebut.

SC mendakwa bahawa manipulasi selama seminggu itu menyebabkan lonjakan dalam volum saham-saham DVM, kepada sejumlah 63 juta saham pada 20 Mac 2006, berbanding hanya sebanyak 3.6 juta seminggu sebelum manipulasi itu berlaku. Siasatan SC mendapati bahawa pihak defendan tidak pernah memperdagangkan saham-saham DVM sebelum tarikh berkenaan.

Tujuh individu yang dinamakan dalam tindakan penguatkuasaan tersebut ialah:
1. Kenneth Vun @ Vun Yun Liun
2. Teng Choo Teik
3. Simon Lin Siang Hock
4. Lye Pei Ling
5. Chuah Hock Soon
6. Choong Lay Ti
7. Gui Boon Huat

SC menuntut supaya semua keuntungan yang diperoleh defendan hasil daripada manipulasi tersebut, digunakan untuk membayar ganti rugi kepada para pelabur. SC juga menuntut penalti sivil sebanyak RM1 juta daripada setiap orang daripada ketujuh-tujuh defendan itu. Perintah lain yang dipohon adalah supaya pihak defendan dihalang daripada menjadi pengarah syarikat tersenarai awam dan juga dihalang daripada berdagang di bursa saham dan untuk sekurang-kurangnya lima tahun.

“Manipulasi memberi ancaman terhadap integriti pasaran dan ini merupakan fokus penting berterusan bagi kami di SC,” kata Pengarah Eksekutif Penguatkuasaan SC, Ahmad Fairuz bin Zainol Abidin. Beliau juga menyatakan bahawa kes ini menunjukkan komitmen SC dalam menangani manipulasi pasaran dan menegaskan bahawa SC juga serius dalam mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan kesalahan.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA


HUBUNGI KAMI
HOTLINE: +603-6204 8000
PAUTAN BERKAITAN
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia    |    Hubungi Kami    |    Penolak Tuntutan    |    Paparan laman yang lebih baik menggunakan Internet Explorer 11 dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup