SC Sambut Tahun ke-10nya dengan Penghargaan Terhadap Kerjasama Erat Pengawal Selia–Industri

Kuala Lumpur, 28 Februari 2003

Kekuatan pasaran modal Malaysia hari ini dibina atas perundingan dan kerjasama erat antara pengawal selia pasaran modal itu dengan industri selama ini, kata Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti (SC) Datuk Ali Abdul Kadir hari ini sempena sambutan ulang ke-10 SC esok.

SC ditubuhkan pada 1 Mac 1993 sebagai badan berkanun biayaan sendiri yang melapor terus kepada Menteri Kewangan. Diwujudkan di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993, SC merupakan agensi pengawal selia tunggal bagi pengawalseliaan dan pembangunan pasaran modal. Ia mempunyai tanggungjawab langsung bagi penyeliaan dan pengawasan aktiviti institusi pasaran, termasuk bursa dan rumah penjelasan, dan mengawal selia semua pihak yang diberikan lesen di bawah Akta Perindustrian Sekuriti 1983 dan Akta Perindustrian Niaga Hadapan 1993.

Datuk Ali berkata Suruhanjaya menghargai kerjasama yang telah diberikan oleh kesemua peserta pasaran kepada Suruhanjaya sepanjang sedekad yang lalu, dalam memberikan maklum balas dan idea, dan dalam melaksanakan wawasan yang dikongsi bersama bagi pasaran.

Beliau berkata semangat perundingan SC telah wujud sejak penubuhan SC lagi, ketika pimpinan Dato’ Dr Munir Majid, pengerusi pertama yang menerajui SC pada enam tahun pertamanya.

Walaupun pasaran telah melalui turun dan naiknya sepanjang 10 tahun, Suruhanjaya terus memberikan pimpinan di sepanjang tempoh ini dengan sokongan daripada institusi pasaran serta peserta lain.

Walaupun ketika tempoh yang mencabar, pasaran telah berkembang dalam pelbagai aspek. Yang paling ketara, pasaran modal telah muncul sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi — nisbah dana yang dijana dalam pasaran modal dalam Keluaran Dalam Negara Kasar ialah sebanyak 17% pada penghujung tahun 2002 berbanding 12% pada tahun 1992. Pemodalan pasaran pasaran modal, walaupun agak perlahan hari ini, berjumlah RM481.6 bilion (akhir tahun 2002) berbanding RM245.8 bilion (akhir tahun 1992).

Sementara itu, bilangan syarikat tersenarai di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) juga telah berkembang dengan ketara — 20 tahun yang lalu, dalam tahun 1973 terdapat sebanyak 262 syarikat tersenarai di BSKL. Dan hanya sebelum penubuhan SC, pada penghujung tahun 1992, terdapat 369 syarikat tersenarai di BSKL. Dengan penubuhan SC, pasaran menyaksikan keberkesanan proses penjanaan dana dan ditunjukkan oleh bilangan syarikat tersenarai yang telah berganda 10 tahun kemudiannya kepada 868. Malaysia kini mempunyai bilangan syarikat tersenarai terbesar di ASEAN, mengatasi bilangan bagi Singapura dan Thailand yang digabungkan.

Hari ini, pasaran modal Malaysia merupakan pasaran terulung di ASEAN; dengan menguasai 40% pemodalan pasaran bagi pasaran ASEAN dan lebih besar daripada gabungan pemodalan pasaran Thailand, Indonesia dan Filipina.

Pasaran bon telah berkembang kepada sumber pembiayaan yang paling dikehendaki dengan jumlah sebanyak RM199.2 bilion dijanakan antara tahun 1993-2002 berbanding RM13.8 bilion yang dijanakan dalam tempoh 10 tahun sebelum penubuhan Suruhanjaya (iaitu peningkatan hampir 1,400%).

Datuk Ali berkata wawasan dan galakan Kerajaan dalam melaksanakan, yang dianggap pada ketika itu, dasar kontroversi, telah membantu Malaysia melalui krisis Asia yang rumit. Ketika itu, SC telah memastikan bahawa kawalan berhati-hati dan operasi adalah cukup kukuh, dan hasilnya pasaran modal Malaysia berupaya menahan tekanan sistemik yang dimulakan oleh kesan penularan pasaran dan muncul dalam keadaan yang agak sihat.

“Semangat kerjasama adalah penting bagi pertumbuhan kita, dan kita sentiasa percaya bahawa pendekatan rundingan adalah penting khususnya bagi kerja pembangunan, dan untuk memastikan bahawa kita mempunyai pasaran yang sentiasa berterusan. Semangat kerjasama ini membabitkan pihak berkuasa lain seperti Pejabat Peguam Negara, Bank Negara Malaysia, Polis, Suruhanjaya Syarikat, dan pelbagai Jawatankuasa seperti Jawatankuasa Pelaburan Asing, Majlis Tindakan Ekonomi Negara dan kementerian yang bekerja rapat dengan kita,” kata beliau.

“Pelan Induk Pasaran Modal (CMP) yang dilancarkan pada tahun 2001, bagi saya, ialah contoh yang baik perundingan oleh Suruhanjaya Sekuriti, dan semangat kerjasama yang tulen yang diberikan oleh pihak industri, institusi pasaran dan pengawal selia lain,” kata beliau.

“Kami juga merasakan bahawa perundingan tidak hanya penting ketika perumusan dasar tetapi juga bagi tujuan pelaksanaan, dan oleh yang demikian, telah membentuk Majlis Penasihat Pasaran Modal yang mempunyai 15 anggota, terdiri daripada peserta kanan pasaran untuk memberikan nasihat mengenai pelaksanaan,” kata beliau.

“Suruhanjaya sentiasa berpendirian bahawa pasaran memahami apa yang ia perlukan, dan berusaha untuk mempertimbangkan perspektif pasaran dalam pembangunan dasar kita, dan sentiasa mengimbangi keperluan dan kehendak pelbagai pemegang kepentingan yang kadangkala bercanggah.”

Datuk Ali berkata bahawa walaupun pengawalseliaan dan penguatkuasaan merupakan tiang penting bagi pasaran modal yang kukuh, aspek penting yang lain merupakan tahap kecanggihan pelaburnya.

Beliau berpuas hati bahawa para pelabur telah menjadi lebih proaktif dalam mempertahankan hak mereka dan menunjukkan lebih minat dalam pelaburan mereka.

Beliau berkata bahawa ini menjadi semakin lebih penting bawah rejim penzahiran penuh yang mana keupayaan pelabur untuk memahami pelaburan mereka sendiri semakin penting.

Beliau berkata perlindungan dan pendidikan pelabur adalah penting kepada SC dan ia menjalankan kempen-kempen kesedaran, sebagai contoh, terhadap komoditi lani, dan menjalankan taklimat percuma di seluruh negara.

Datuk Ali juga berkata bahawa pihak korporat dalam membina syarikat mereka dan memperkukuh nilai pemegang saham juga mempunyai kesan positif secara langsung terhadap kekuatan senario korporat secara keseluruhannya.

Beliau berkata di kalangan rakan sekerjanya, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia adalah amat dihormati dan ini ditunjukkan dalam kepimpinannya dalam pelbagai jawatankuasa dalam Pertubuhan Antarabangsa Suruhanjaya Sekuriti (IOSCO), khususnya Jawatankuasa Pasaran Baru Muncul, Jawatankuasa Serantau Asia Pasifik dan Pasukan Petugas Pasaran Modal Islam. SC juga memainkan peranan penting dalam pembuatan dasar antarabangsa melalui penglibatannya dalam, antara lain, Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) dan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup