SC semak Garis panduan Ekuiti untuk memudahkan pemindahan penyenaraian dan perjelas prinsip kawal selia bagi SPAC
18 Disember 2013   |   Kuala Lumpur

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini menyemak semula Garis panduan Ekuiti bagi meningkatkan perlindungan pelabur dan kecekapan pasaran. Perubahan utama termasuklah tambahan perlindungan pelabur dan nota amalan bagi menjelaskan mengenai prinsip-prinsip pengawalseliaan dan peraturan bagi Syarikat-syarikat Pemerolehan Tujuan Khas (SPAC), serta memperkenalkan proses pemindahan yang lebih mudah bagi kaunter Pasaran ACE ke Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Securities).

Perubahan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan SC bagi memastikan peraturan dan garis panduan kekal relevan dan berkesan dengan peraturan yang seimbang bagi memastikan risiko yang berkaitan ditangani dengan setimpal.

Nota Amalan Prinsip-prinsip Pengawalseliaan SPAC

Pada bulan Ogos 2009, selepas rundingan dengan pemegang kepentingan dan orang ramai, SC memperkenalkan satu kerangka untuk penyenaraian SPAC di Pasaran Utama Bursa Securities bagi menggalakkan aktiviti ekuiti swasta, memangkinkan transformasi korporat dan menggalakkan percantuman dan pemerolehan.

Walaupun terdapat minat yang mendalam terhadap penyenaraian SPAC, SC kerap mendapati bahawa pemohon dan penasihat mereka tidak mematuhi sepenuhnya prinsip-prinsip bagi penyenaraian SPAC walaupun rundingan dan taklimat telah diberikan sebelum pelancaran kerangka SPAC.

Nota amalan yang baharu ini bertujuan untuk menangani perkara tersebut dan memperjelaskan, antara lain, bahawa sesuatu cadangan SPAC perlu dilihat secara menyeluruh dan mesti memastikan bahawa pengalaman dan rekod prestasi pasukan pengurusan sejajar dengan objektif dan strategi perniagaan SPAC berkenaan. Nota amalan yang baharu ini juga memperjelaskan bahawa struktur pampasan dan ganjaran pasukan pengurusan mestilah setara dengan potensi pulangan kepada pemegang saham.

SC juga telah memperkenalkan perlindungan tambahan dalam garis panduan tersebut yang bertujuan untuk memastikan agar pasukan pengurusan SPAC mempunyai penglibatan kewangan yang lebih bermakna serta mengukuhkan keselarasan kepentingan dengan pemegang saham awam SPAC.
Perlindungan baharu tersebut, antara lain, termasuklah larangan menggunakan hasil daripada tawaran awam awal (IPO) untuk membayar gaji pasukan pengurusan sebelum lengkapnya kelayakan pemerolehan oleh SPAC,mengehadkan keupayaan pasukan pengurusan untuk menjual sekuriti yang dipegang dalam SPAC sebelum aset yang diperoleh menjana pendapatan dan memerlukan sumbangan modal minimum daripada pasukan pengurusan.

Nota Amalan yang dikeluarkan oleh SC itu telah mengambil kira maklum balas yang terima melalui rundingan industri yang membabitkan pelbagai pihak berkepentingan, serta perkembangan baharu dan amalan pasaran di bidang kuasa lain.

Pemindahan Penyenaraian

Dalam Garis panduan Ekuiti yang disemak semula itu, SC telah memansuhkan keperluan dokumen pengenalan bagi syarikat yang ingin memindahkan penyenaraian mereka daripada Pasaran ACE ke Pasaran Utama Bursa Securities.

Keperluan itu dimansuhkan hanya bagi syarikat yang layak untuk pemindahan berdasarkan keteguhan perniagaan mereka pada masa berkenaan, dan bukan melalui pemerolehan yang merupakan pengambilalihan terbalik atau penyenaraian pintu belakang aset-aset yang diperoleh.

Garis panduan itu juga kini menjelaskan bahawa syarikat yang ingin membuat pemindahan perlu mempunyai kedudukan kewangan yang baik, termasuk aliran tunai positif daripada aktiviti operasi, tahap modal kerja yang mencukupi bagi sekurang-kurangnya 12 bulan dari tarikh pemindahan dan tiada kerugian terkumpul berdasarkan kunci kira-kira terkini yang telah diaudit.

Semakan semula itu berkuat kuasa serta-merta dan salinan Garis panduan Ekuiti boleh didapati di sini.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA



Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup