SC Semak Semula Garis Panduan bagi Memudahcarakan Permohonan Insentif Cukai bagi Industri Modal Teroka

Kuala Lumpur, 14 April 2005

Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini mengeluarkan garis panduan bertajuk "Guidelines for Annual Certification for Tax Incentives for the Venture Capital Industry" (Garis Panduan) yang disemak semula, untuk membantu industri modal teroka dalam permohonan mereka mendapatkan pengesahan tahunan daripada SC bagi menikmati insentif pencukaian bagi sektor berkenaan.

Garis panduan yang disemak semula tersebut menggantikan Garis Panduan terdahulu yang dikeluarkan pada 28 Ogos 2001.

Bagi memudahcarakan pentadbiran dan permohonan bagi insentif pencukaian berkaitan dengan industri modal teroka, pada tahun 2001, Kerajaan telah mengamanahkan SC dengan tugas memberikan pengesahan bahawa pemohon telah memenuhi syarat-syarat yang diperlukan.

Garis Panduan yang telah disemak semula mengandungi insentif pencukaian berikut, yang berkuat kuasa dari tahun taksiran 2003:

  • pengecualian cukai bagi syarikat modal teroka (VCC) yang berdaftar dengan SC selepas memenuhi syarat-syarat di bawah Perintah Cukai Pendapatan (Pengecualian)(No.11) 2005; dan
  • Potongan cukai bagi mana-mana syarikat atau individu yang menyediakan pembiayaan modal teroka, tertakluk kepada kriteria tertentu yang disahkan oleh SC, selepas mematuhi syarat-syarat di bawah Peraturan Cukai Pendapatan (Potongan bagi Pelaburan dalam Syarikat Teroka) 2005.

Di samping insentif di atas, sesebuah syarikat pengurusan modal teroka (VCMC) yang didaftarkan dengan SC juga boleh menikmati insentif pencukaian dalam bentuk pengecualian cukai ke atas pendapatan yang diperolehi daripada perjanjian perkongsian keuntungan antara VCMC dan VCC. Walau bagaimanapun, VCMC tidak perlu mendapatkan pengesahan daripada SC dengan syarat VCC tersebut adalah berdaftar dan telah diberikan pengesahan oleh SC. Insentif ini diberikan di bawah Perintah Cukai Pendapatan (Pengecualian)(No.12) 2005.

Pemohon dinasihatkan agar merujuk dan memahami kandungan dan syarat-syarat Garis Panduan tersebut sebelum membuat apa-apa permohonan bagi pengesahan tahunan kepada SC.

Satu set soalan lazim juga dikeluarkan bersama Garis Panduan yang disemak semula tersebut. Kedua-dua Garis Panduan dan Soalan Lazim tersebut boleh didapati di tapak web SC di sini.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup