SC siasat lima syarikat kerana urus niaga tidak berlesen dalam kontrak niaga hadapan
7 Mei 2014   |   Kuala Lumpur
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) sedang menyiasat lima syarikat berikut kerana disyaki melanggar undang-undang sekuriti berkaitan dengan urus niaga dalam kontrak niaga hadapan tanpa lesen:

Jalatama Management Sdn Bhd (Nombor syarikat: 929594-W)
West Street Management Sdn Bhd (Nombor syarikat: 1063355-X)
JAB Oceanic Sdn Bhd (Nombor syarikat: 1057304-V)
JAB Consultant Sdn Bhd (Nombor syarikat: 1046272-D)
Xenovest Capital Sdn Bhd (Nombor syarikat: 1078155-A)

Pagi tadi, pasukan penguatkuasaan SC telah menjalankan serbuan secara serentak ke atas empat lokasi pejabat syarikat berkenaan di Kuala Lumpur. Bagi membantu siasatan SC, dokumen berkaitan dan peralatan IT telah dirampas. Kenyataan juga telah diambil daripada kakitangan syarikat tersebut dan individu lain yang ada ketika serbuan itu.

Tidak satupun syarikat tersebut atau wakil-wakil mereka berlesen dengan SC untuk mendapatkan wang atau berurus niaga dalam kontrak niaga hadapan. Orang ramai adalah diingatkan agar tidak berurusan dengan syarikat-syarikat ini berhubung dengan urus niaga kontrak niaga hadapan dan hendaklah menghubungi SC sekiranya mereka mempunyai sebarang maklumat mengenai urus niaga berkenaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau pertanyaan mengenai perkara ini atau skim-skim pelaburan yang serupa adalah dinasihatkan agar menghubungi Jabatan Hal Ehwal Pelabur & Pengaduan melalui e-mel, [email protected] atau telefon: 03-62048999 secepat mungkin.

Menurut seksyen 58 Akta Pasaran Modal & Perkhidmatan 2007, mana-mana syarikat atau individu yang menjalankan aktiviti yang dikawal selia termasuk berurus niaga dalam kontrak niaga hadapan, harus memegang Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal. Sesiapa yang melakukan kesalahan di bawah seksyen tersebut, jika didapati bersalah, boleh didenda tidak melebihi RM10 juta atau dihukum penjara bagi tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Orang ramai juga dinasihatkan agar hanya berurusan dengan syarikat dan individu yang dilesenkan oleh SC seperti yang disenaraikan di laman sesawang SC: www.sc.com.my.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup