SC Singkatkan Tempoh Masa bagi Penyenaraian Syarikat Bermodal Pasaran Besar

Kuala Lumpur, 25 Ogos 2006

Suruhanjaya Sekuriti (SC) telah menyingkatkan tempoh masanya bagi menyemak dan mempertimbangkan permohonan tawaran awam permulaan (IPO) syarikat bermodal pasaran besar.

Tempoh masa yang dipertingkat tersebut adalah antara usaha terkini pengawal selia tersebut bagi menambahkan kecekapan, keberkesanan dan ketelusan, yang merangkumi pengumuman pada bulan lalu mengenai data prestasi cadangan korporat yang dipertimbangkan pada separuh tahun pertama 2006.

"Tempoh masa yang disemak semula tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan SC untuk mempertingkatkan penyediaan khidmat kawal selia kepada pasaran. Dengan semakan yang lebih pantas oleh SC, masa ke pasaran akan lebih cepat dan akan terdapat lebih kepastian mengenai keputusan suatu cadangan," kata Pengerusi SC Dato' Zarinah Anwar.

SC kini akan membuat keputusan dalam tempoh satu bulan dari tarikh pengemukaan cadangan IPO oleh syarikat yang mempunyai pemodalan pasaran sekurang-kurangnya RM500 juta. Tempoh masa yang baru tersebut adalah pengurangan ketara daripada tempoh masa tiga bulan ketika ini yang diambil untuk menyemak cadangan penyenaraian secara umumnya.

"Terdapat keperluan untuk menarik syarikat besar dan berkualiti ke bursa tempatan. Dengan tempoh masa yang lebih singkat, syarikat bermodal pasaran besar yang memenuhi kriteria penyenaraian boleh disenaraikan dengan lebih cepat di Bursa Malaysia. Tempoh masa baru ini juga terpakai kepada syarikat asing yang memohon untuk disenaraikan di Malaysia berikutan pengumuman garis panduan penyenaraian syarikat asing SC pada bulan Jun lalu," kata Dato' Zarinah.

SC juga mengurangkan tempoh masa bagi sekuriti yang diterbitkan oleh syarikat tersenarai atas dasar hak. Cadangan sedemikian kini boleh diputuskan dalam tempoh lima hari bekerja, berbanding 21 hari bekerja ketika ini. Tempoh masa baru tersebut terpakai kepada cadangan terbitan hak yang dikemukakan secara bersendirian yang tidak membabitkan penilaian aset, tidak menyebabkan pertukaran ketara dalam hala-tuju perniagaan penerbit dan tidak membabitkan urus niaga pihak berkaitan.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup