SC: Sistem penyelesaian sekuriti Malaysia akan sentiasa dipertingkat untuk memenuhi standard sejagat

Kuala Lumpur, 19 November 2001

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) meyakinkan pelabur awam bahawa sistem penyelesaian sekuriti negara, yang sudah agak maju ke hadapan, akan sentiasa dikaji semula dan dinaik taraf bagi memastikan bahawa ia kekal setanding dengan standard antarabangsa. Sistem penyelesaian sekuriti yang kukuh adalah faktor penting dalam menentukan tarikan dan daya saing sesuatu pasaran modal.

SC menyatakan ini berikutan penyiaran laporan bertajuk "Recommendations for Securities Settlement Systems" oleh Jawatankuasa Sistem Pembayaran dan Penyelesaian (CPSS) dan Jawatankuasa Teknikal Pertubuhan Antarabangsa Suruhanjaya Sekuriti (IOSCO) baru-baru ini.

SC merupakan ahli Badan Bertindak bersama CPSS-IOSCO mengenai Sistem Penyelesaian Sekuriti dan diwakili oleh Pengarahnya, Ranjit Ajit Singh. Badan Bertindak tersebut ditubuhkan pada 1999 dan diberi mandat dan tanggungjawab untuk membangun cadangan-cadangan yang terkandung di dalam Laporan tersebut. SC bersama 25 pengawal selia sekuriti dan pihak bank-bank pusat dari 17 buah negara dan Kesatuan Eropah berada dalam Badan Bertindak ini.

"Ini merupakan satu dokumen yang amat penting yang akan menentukan hala perkembangan sistem penyelesaian sekuriti sejagat. Kami telah mendapat manfaat daripada menjadi ahli Badan Bertindak tersebut dan telah menyumbang pandangan Malaysia kepada kerja-kerja Badan Bertindak itu. Dimaklumkan bahawa kebanyakan cadangan tersebut telah pun dinyatakan di dalam Pelan Induk Pasaran Modal. SC bersama pengendali sistem penyelesaian sekuriti telah dan akan terus menilai cadangan-cadangan ini dan penggunaannya dalam pasaran tempatan", kata Pengerusi SC, Datuk Ali Abdul Kadir.

Beliau menambah bahawa adalah penting sistem penyelesaian sekuriti kita memenuhi standard sejagat bagi memastikan pasaran modal kita berdaya saing dan mendapat tarikan para pelabur. Sistem penyelesaian sekuriti merupakan satu aspek pasaran modal yang berkembang secara pantas di peringkat antarabangsa.

"Walaupun Malaysia hari ini mempunyai sistem yang agak maju ke hadapan, kita mesti memastikan sistem kita sentiasa dikaji semula dan dinaik taraf", kata Datuk Ali Abdul Kadir.

SC, berikutan daripada pembabitannya secara dekat dalam perumusan cadangan-cadangan tersebut, akan bekerja sama dengan pihak industri mengenai pelaksanaan cadangan-cadangan ini.

Laporan tersebut mengandungi 19 cadangan yang menerangkan standard minimum yang harus dipenuhi oleh sistem penyelesaian sekuriti. Cadangan tersebut dirumuskan untuk merangkumi sistem bagi semua jenis sekuriti dan digunakan bagi kedua-dua dagangan tempatan dan lepas sempadan.

Badan Bertindak tersebut, dalam membangun cadangan-cadangan itu, mendapat manfaat yang banyak daripada input bank-bank pusat, pengawal selia sekuriti, pengendali sistem penyelesaian sekuriti lain serta peserta pasaran.

Pada Januari 2000, Badan Bertindak tersebut mendapat input daripada bank-bank pusat dan pengawal selia sekuriti yang mewakili kira-kira 30 buah negara, serta daripada wakil Tabung Wang Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia. Setahun selepas itu, satu laporan rundingan telah dikeluarkan untuk mendapatkan komen orang ramai.

Sebagai satu langkah penting pertama ke arah mewujudkan satu kaedah yang menyeluruh bagi menilai pelaksanaan, laporan tersebut mengandungi soalan-soalan penting berkaitan dengan setiap cadangan, jawapan yang dijadikan asas bagi penilaian. Badan Bertindak itu bercadang untuk membangun satu kaedah penilaian pada 2002. IMF dan Bank Dunia akan mengambil bahagian di peringkat seterusnya ini.

Laporan tersebut boleh didapati dan dimuat turun di sini dalam format PDF.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup