Kuala Lumpur, 28 Februari 2007
Kerjasama erat dan muafakat akan terjalin dengan termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) antara Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan State Securities Commission of Vietnam (SSC Vietnam) pada hari Selasa, 27 Februari 2007.
MoU tersebut ditandatangani oleh Pengerusi SC Dato’ Zarinah Anwar dan Naib Pengerusi SSC Vietnam Dr Vu Thi Kim Lean ketika berlangsungnya mesyuarat Forum Pasaran Modal ASEAN (ACMF) ke-6 di Kuala Lumpur. SC Malaysia ketika ini mempengerusikan ACMF.
MoU tersebut mewujudkan rangka kerja bagi bantuan dan kerjasama yang mana kedua pengawal selia bersetuju untuk memudahcarakan pertukaran maklumat untuk mengukuhkan dan memastikan pematuhan terhadap undang-undang sekuriti di kedua-dua negara.
Dato’ Zarinah berkata MoU tersebut merupakan langkah penting ke arah mempertingkat hubungan kawal selia antara SC dan SSC Vietnam.
“Memorandum persefahaman ini akan memastikan bahawa kita mempunyai kerjasama erat berhubung dengan peranan utama kami sebagai pengawal selia pasaran dan membolehkan satu mekanisme diwujudkan bagi memastikan pengawalseliaan rentas sempadan dan pertukaran maklumat yang efektif untuk mengekalkan pasaran yang diselia dengan baik yang kekal menarik kepada para pelabur dan penerbit,” kata Dato’ Zarinah ketika majlis menanda tangan tersebut.
Dengan meningkatnya jumlah dagangan dan pelaburan antara kedua negara tersebut, adalah penting bagi pihak berkuasa kawal selia untuk menyelaraskan usaha bagi memastikan keselamatan yang mencukupi bagi pelaburan ini. Memandangkan proses pengantarabangsaan pasaran modal yang semakin meningkat, dan matlamat yang ditetapkan oleh ASEAN bagi hubungan ekonomi yang lebih erat antara negara anggota, MoU tersebut juga menyediakan platform kerajasama yang mana kedua pengawal selia boleh mempertingkat lagi hubungan dua hala antara kedua-dua pasaran.
MoU bersama SSC Vietnam merupakan MoU yang ke-25 ditandatangani oleh SC sejak tahun 1994. MoU yang lain termasuk Capital Market Supervisory Agency Indonesia, Securities and Futrures Commission Hong Kong, Securities And Exchange Commission Thailand, dan Securities and Regulatory Commission China.
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA