SC temui syarikat PN4 untuk membantu proses regularisasi

Kuala Lumpur,  22 April 2002

Suruhanjaya Sekuriti (SC), bersama dengan Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL), hari ini mengadakan satu sesi dialog tertutup bersama para pengarah dan pegawai kanan syarikat tersenarai yang diklasifikasikan bawah Nota Amalan 4/2001 (PN4/2001) BSKL. Dialog tersebut dipengerusikan oleh Pengerusi SC, Datuk Ali Abdul Kadir.

"Syarikat PN4" merupakan syarikat tersenarai yang gagal memenuhi syarat-syarat kewangan untuk terus layak tersenarai di BSKL. Dalam konteks ini, PN4 bertujuan memastikan bahawa syarikat tersenarai terbabit mengambil langkah untuk meregularisasikan kedudukan kewangan mereka secepat mungkin dalam tempoh masa yang ditetapkan. PN4 juga bertujuan melindungi kepentingan pelabur dengan memastikan penzahiran maklumat yang secukupnya dibuat dalam rancangan penyusunan semula syarikat tersenarai terbabit, serta dengan mengenakan tindakan penalti ke atas syarikat awam tersebut yang gagal mematuhi tarikh akhir proses regularisasi itu.

Tujuan dialog tersebut adalah untuk mengumpulkan maklum balas daripada syarikat PN4 dalam mempercepat penyusunan semula syarikat berkenaan. Sejajar dengan ini, dialog ini menyediakan saluran formal bagi syarikat-syarikat PN4 dan penasihat mereka untuk mengemukakan isu-isu umum selain isu yang dibangkitkan dalam mesyuarat-mesyuarat kerja dengan SC. Dialog tersebut juga membolehkan SC mendapatkan maklum balas mengenai kemajuan usaha penyusunan semula syarikat-syarikat ini.

Semasa dialog itu, SC mengulang prinsip panduan dan keutamaan yang diberikan olehnya dalam menilai cadangan penyusunan semula yang dikemukakan oleh syarikat PN4. Pihak SC juga menjelaskan kepada syarikat PN4 fleksibiliti yang telah diberikan sebelum ini oleh SC untuk memudahcarakan aktiviti penyusunan semula.

Syarikat PN4 juga diingatkan mengenai tempoh akhir, iaitu pada hujung tahun ini, serta akibat sekiranya mereka gagal meregularisasikan kedudukan kewangan mereka secepat mungkin - syarikat PN4 yang gagal mematuhi tempoh masa proses regularisasi itu akan menghadapi kemungkinan sekatan dagangan atau penggantungan. Akhirnya, syarikat PN4 yang gagal memperbaiki keadaan kewangan mereka, walaupun telah diberi peluang yang mencukupi untuk berbuat demikian, akan dinyahsenaraikan dari BSKL.

Seterusnya, pihak SC akan mempertimbangkan maklum balas yang diterima di dialog itu untuk membentuk garis panduan yang lebih memudahcarakan dan dipacu pasaran, yang mentadbir penyusunan semula korporat di kalangan syarikat awam tersenarai di Malaysia. Ini akan diseimbangkan dengan objektif pembangunan pasaran modal yang teratur.

Penasihat korporat iaitu bank-bank saudagar dan broker universal juga hadir di dialog tersebut.

Sementara SC memudahcarakan usaha penyusunan semula syarikat PN4, ia juga menasihati masyarakat pelabur untuk mengikuti secara teliti perkembangan syarikat berkenaan dan mempertimbangkan risiko lebih tinggi yang berkaitan sekiranya mereka melabur dalam syarikat-syarikat tersebut.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup