SC Terbit Garis Panduan Baru mengenai Kandungan Prospektus

Kuala Lumpur, 26 Mei 2000

Suruhanjaya Sekuriti (SC) dengan sukacitanya mengumumkan bahawa ia akan menerbitkan garis panduan baru mengenai kandungan prospektus (Garis Panduan Prospektus) yang akan mengawal selia syarat-syarat penzahiran bagi prospektus apabila Akta Suruhanjaya Sekuriti (Pindaan) 2000 berkuat kuasa. Pindaan kepada Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 (SCA) telah diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara masing-masing pada 19 April 2000 dan 9 Mei 2000.

Sekarang ini, syarat-syarat penzahiran prospektus bagi terbitan sekuriti (selain skim unit amanah) dikawal selia oleh Pendaftar Syarikat (ROC) di bawah Akta Syarikat 1965, dan di mana penerbit memohon bagi penyenaraian di bursa saham, ia tertakluk di bawah syarat-syarat penyenaraian bursa saham berkaitan.

Dengan berkuatkuasanya pindaan kepada SCA tidak lama lagi, SC akan menjadi pihak berkuasa yang meluluskan dan mendaftarkan prospektus selain daripada tawaran bagi langganan atau pembelian saham atau debentur oleh sesebuah kelab rekreasi tidak tersenarai. Pengemukaan prospektus-prospektus (kecuali bagi skim unit amanah dan skim pelaburan yang ditetapkan) kekal di bawah bidang kuasa ROC.

Semua peraturan berkaitan yang lain mengenai prospektus sebagaimana yang terkandung dalam Syarat-Syarat Penyenaraian Bursa Saham Kuala Lumpur, Peraturan Penyenaraian Bursa Dagangan Sekuriti dan Sebut Harga Automasi Malaysia dan Akta Syarikat 1965, di mana yang sesuai atau berkaitan, akan dipinda selepas ini.

Dalam merumus syarat-syarat penzahiran di bawah Garis Panduan Prospektus, SC telah mengadakan berbagai dialog rundingan di sepanjang tahun lalu dan meminta pandangan daripada sejumlah peserta pasaran, seperti Persatuan Bank-Bank Perdagangan Malaysia, Persekutuan Syarikat Awam Tersenarai, Persatuan Institut Setiausaha dan Pentadbir Bertauliah Malaysia, ahli-ahli Badan Peguam Malaysia, Persatuan Akauntan Awam Bertauliah Malaysia dan Institut Akauntan Malaysia.

Garis Panduan Prospektus tersebut akan dapat diperolehi tidak berapa lama lagi. Semua prospektus yang berkaitan selepas tarikh berkuasa kuasa pindaan SCA, akan dikehendaki mematuhi Garis Panduan tersebut.

SC akan mengadakan sesi penerangan kepada penasihat-penasihat korporat untuk memberitahu dan memperjelaskan semua kemusykilan yang mungkin timbul berkaitan garis panduan tersebut.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup