SC Terbit Garis Panduan Pengiklanan berkaitan Terbitan Sekuriti

Kuala Lumpur, 18 September 2000

Suruhanjaya Sekuriti (SC) ingin mengumumkan penerbitan Garis Panduannya mengenai Pengiklanan berkaitan Terbitan, Tawaran atau Pelawaan untuk Melanggan atau Membeli Sekuriti.

Secara khususnya, Garis Panduan tersebut adalah berkenaan dengan pengiklanan sebelum dan selepas prospektus dikeluarkan dan memperjelaskan beberapa pengecualian kepada halangan pengiklanan yang terkandung dalam seksyen 50 Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 (SCA).

Garis Panduan ini diterbitkan oleh SC sebagai respon kepada maklum balas daripada penerbit dan penasihat mereka bagi memudahkan mereka menjalankan tugas penyediaan yang berkaitan dengan sesuatu cadangan tawaran sekuriti. SC juga telah berunding dengan Persatuan Bank-Bank Saudagar Malaysia (AMBM) dalam merumus Garis Panduan ini.

Sekarang ini, peruntukan berkaitan dengan sekatan-sekatan dalam pengiklanan terkandung dalam seksyen 50 SCA 1993. Sekatan-sekatan sebelum prospektus dikeluarkan ini pada dasarnya menghendaki persetujuan SC diperolehi sebelum sebarang maklumat yang berkaitan dengan mana-mana cadangan tawaran sekuriti boleh disiarkan. Sekatan-sekatan ini adalah bagi memastikan sesuatu prospektus yang menyediakan pengemukaan maklumat yang seimbang yang diperlukan oleh para pelabur, adalah suatu asas penting bagi keputusan pelaburan. Ini adalah kerana kempen pengiklanan sebelum prospektus dikeluarkan boleh menyebabkan keputusan pelaburan dibuat sebelum sesuatu prospektus boleh didapati. Apabila sesuatu keputusan pelaburan telah dibuat, pengaruh prospektus yang kemudiannya akan berkurangan.

Suruhanjaya menyedari keperluan untuk membolehkan para penerbit menjalankan tugas penyediaan biasa yang berkaitan dengan sesuatu cadangan tawaran sekuriti dalam kes-kes berikut:
Pengemukaan;
Pengumuman oleh penaja jamin selepas diberi mandat oleh penerbit untuk bertindak sebagai penaja jamin sesuatu cadangan terbitan;
Pengumuman yang dibuat ketika menanda tangan bersama perjanjian penajajaminan; dan
Kenyataan ringkas(concise statements).
Halangan sebelum prospektus dikeluarkan tersebut tidak bermaksud untuk menghad aliran bebas maklumat bukan promosi yang disiarkan bagi membangkit kesedaran orang ramai mengenai sesuatu cadangan tawaran sekuriti. Oleh yang demikian, bagi pengiklanan sebelum prospektus dikeluarkan, para penerbit dibenarkan untuk menjalankan beberapa tugas penyediaan terhad dalam bentuk pengemukaan, pengumuman selepas diberi mandat untuk bertindak sebagai penaja jamin, pengumuman yang dibuat ketika menanda tangan bersama perjanjian penajajaminan dan kenyataan tepat tertentu, tanpa mendapatkan persetujuan SC sebelumnya. Walau bagaimanapun, syarat-syarat yang ditetapkan dalam Garis Panduan SC mengenai Pengiklanan yang berkaitan dalam menjalankan aktiviti ini mesti dipatuhi.

Berkenaan dengan pengiklanan selepas prospektus dikeluarkan, sebarang maklumat yang disiarkan selepas pendaftaran sesuatu prospektus adalah dibenarkan selagi maklumat tersebut terkandung dalam prospektus. Tambahan lagi, pengumuman oleh bank-bank saudagar atau para penerbit samada terbitan tersebut terkurang atau terlebih langganan dan tahap kekurangan atau kelebihan langganan tersebut adalah dibenarkan tanpa mendapatkan persetujuan SC sebelumnya.

Syarat-syarat ini dinyatakan dalam Garis Panduan SC mengenai Pengiklanan. Garis Panduan ini boleh didapati di sini.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup