SC terbit nota amalan ke atas tawaran, terbitan atau pelawaan PDS berasaskan mata wang asing

Kuala Lumpur, 8 Februari 2001

Suruhanjaya Sekuriti (SC) ingin mengumumkan terbitan satu nota amalan ke atas tawaran, terbitan atau pelawaan sekuriti hutang persendirian (PDS) yang berasaskan mata wang asing.

Nota amalan tersebut adalah tertakluk di bawah Garis Panduan Penawaran Sekuriti Hutang Persendirian (Garis Panduan PDS) dan bertajuk Nota Amalan 1 (PN1) ke atas Permohonan Garis Panduan Penawaran Sekuriti Hutang Persendirian mengenai Tawaran, Terbitan atau Pelawaan Sekuriti Hutang Persendirian Berasaskan Mata Wang Asing.

PN1 menangani ketidaksesuaian dalam menggunakan secara keseluruhan semua keperluan Garis Panduan PDS SC ke atas sesebuah syarikat awam di Malaysia dalam membuat sesuatu tawaran, terbitan atau pelawaan berkaitan sekuriti hutang persendirian berasaskan mata wang asing, khusus kepada mereka yang berada di luar Malaysia.

Untuk tujuan ini, Nota Amalan 1 menjelaskan aspek-aspek Garis Panduan PDS SC yang masih boleh dan yang tidak lagi digunakan dalam tawaran, terbitan atau pelawaan tersebut.

Antara lain, PN 1 menekankan bahawa keperluan berkaitan perlindungan pelabur mengenai pengkadaran, penajajaminan, jumlah unit minimum dan cara terbitan tidak digunakan ke atas terbitan, tawaran atau pelawaan yang dibuat kepada para pelabur yang berada di luar Malaysia. Adalah dianggapkan bahawa pelabur-pelabur ini akan dilindungi oleh peraturan bidang kuasa negara masing-masing.

Para penasihat juga perlu mengemukakan satu pengisytiharan penasihat seperti di Lampiran 1 Garis Panduan PDS di samping terus memastikan pematuhan dalam bahagian lain Garis Panduan PDS tersebut.

PN1 juga menjelaskan bahawa mana-mana dana yang dijanakan daripada tawaran, terbitan atau pelawaan sedemikian tidak boleh disalurkan untuk membiayai aktiviti-aktiviti di Malaysia sebagaimana yang akan diumumkan oleh Jawatankuasa Pasaran Bon Kebangsaan (NBMC) dari semasa ke semasa.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup