SC Terima Pakai Kaedah IOSCO untuk Menilai Kesejajaran Pengawalseliaan Tempatan dengan Prinsip Antarabangsa

Kuala Lumpur, 30 Oktober 2003

Suruhanjaya Sekuriti (SC) Malaysia, bersama-sama dengan pengawal selia dari 100 bidang kuasa di seluruh dunia, telah menerima pakai kaedah Pertubuhan Antarabangsa Suruhanjaya Sekuriti (IOSCO) dalam penilaian pengawalseliaan pasaran sekuriti tempatan sejajar dengan prinsip yang diterima pakai di peringkat antarabangsa.

SC, yang secara berterusan berusaha bagi memastikan pasaran modal Malaysia memenuhi ukur rujuk antarabangsa dalam memastikan standard yang tertinggi dan mendapat penerimaan yang meluas, telah secara aktif terbabit dalam penyediaan dokumen, yang secara rasminya dikenali sebagai “Methodology for Assessing Implementation of IOSCO Principles of Securities Regulation”.

Dokumen tersebut dilancarkan di Persidangan Tahunan IOSCO 2003 di Seoul pada pertengahan Oktober (14-17 Oktober) dan diterima pakai oleh ahli-ahlinya di akhir persidangan. Dokumen tersebut boleh didapati di tapak web IOSCO, www.iosco.org.

IOSCO ialah penetap standard utama bagi pengawalseliaan pasaran modal. Berpusat di Madrid, ia merupakan forum utama bagi kerjasama antarabangsa di kalangan pengawal selia sekuriti. Ia mempunyai 168 ahli dari lebih 100 bidang kuasa. SC sebagai ahli Jawatankuasa Eksekutif merupakan peserta dan pembuat keputusan aktif dalam IOSCO. Ia juga mengetuai Jawatankuasa Serantau Asia Pasifik, Kumpulan Kerja Jawatankuasa Pasaran Baru Muncul mengenai Pengawalseliaan Pasaran Sekunder dan Pasukan Petugas Pasaran Modal Islam.

Pengerusi SC Datuk Ali Abdul Kadir berkata bahawa dokumen tersebut adalah penting dalam memudahcarakan penilaian standard kawal selia yang digunakan dalam setiap bidang kuasa.

“IOSCO, sebagai badan penetap standard antarabangsa mewakil kedua-dua ekonomi maju dan baru muncul, telah membangunkan prinsip-prinsip dan objektif yang mentadbir semua perkara berkaitan dengan pengawalseliaan sekuriti dan menyokongnya dengan kaedah bagi menilai sejauh mana kita berpegang kepada prinsip dan objektif tersebut,” kata beliau.

“Kaedah tersebut akan membantu bidang-bidang kuasa mengenal pasti bahagian-bahagian yang mana pengawalseliaan sekuriti mereka tidak memenuhi standard antarabangsa yang ditetapkan dalam Prinsip IOSCO, dalam mengkategorikan mana-mana kegagalan semasa pelaksanaan melalui tahap keterukan, dalam mengenal pasti bidang-bidang bagi tindakan yang diberi keutamaan, dan dalam membangun pelan tindakan untuk membuat pembaharuan yang perlu,” kata beliau.

“Memandang ke hadapan, IOSCO juga akan melaksanakan program latihan untuk membantu dan menggalakkan bidang-bidang kuasa untuk menerima pakai standard pengawalseliaan antarabangsa. SC akan terus meletakkan keutamaan di sini kerana kami merasakan ia adalah penting bagi sesebuah rangka kerja pasaran modal antarabangsa yang kukuh.”

Datuk Ali berkata Malaysia sebagai pihak yang menyediakan draf kaedah tersebut telah mengetengahkan isu-isu dan kebimbangan pasaran baru muncul dan telah memastikan ia boleh diguna pakai di pasaran baru muncul.

“SC merasakan bahawa standard antarabangsa perlu mengambil kira isu-isu dan kebimbangan yang dihadapi oleh pasaran baru muncul, dan dengan itu, telah memainkan peranannya dalam pembabitannya dalam pembangunan prinsip dan kaedah tersebut,” kata beliau.

Di Persidangan Tahunan Seoul, SC juga telah menandatangani memorandum persefahaman (MOU) bersama tiga rakan sekerjanya, iaitu Securities Commission of the Federation of Bosnia & Herzegovina, Commissione Nazionale per le Societa e a Borsa of Italy dan Capital Market Authority of the Sultanate of Oman. MOU tersebut bertujuan memudahcarakan kerjasama antara bidang kuasa mengenai penguatkuasaan undang-undang sekuriti. Ini membawa bilangan MOU yang ditandatangani oleh SC dengan rakan sekerja asingnya kepada 19.

“Pengekalan keutuhan pasaran modal menghendaki para pengawal selia bekerjasama untuk menghalang penggunaan pasaran modal antarabangsa bagi kegiatan penyamaran wang, pembiayaan pengganas, dan lain-lain bentuk jenayah kewangan antarabangsa,” kata Datuk Ali.

Beliau berkata standard kawal selia antarabangsa yang ketat dan kerjasama yang efisien serta mekanisme perkongsian maklumat merupakan unsur penting dalam memenuhi objektif utama itu di peringkat antarabangsa.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup