SC tuduh bekas pengarah atas kerugian salah kepada Patimas Computers Bhd
29 September 2016|   Kuala Lumpur
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengenakan pertuduhan terhadap bekas Pengarah Urusan dan tiga bekas pengarah eksekutif Patimas Computers Bhd (Patimas) dengan 10 pertuduhan kerana menyebabkan kerugian salah kepada syarikat tersebut.

Law Siew Ngoh, 55, bekas Pengarah Urusan, Yap Wee Hin, 58, bekas Timbalan Pengerusi Eksekutif, Robert Daniel Tan Kim Leng, 59, dan Ng Back Heang, 62, kedua-dua bekas pengarah eksekutif Patimas didakwa telah membuat pembayaran berjumlah RM5.1 juta, antara Julai hingga Disember 2010, kononnya bagi pembangunan pelbagai perisian untuk Patimas walhal sebenarnya pembayaran itu tidak digunakan untuk tujuan tersebut.

Pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Tuan Mohd Noor Zaman. Kesemua empat individu meminta untuk dibicarakan terhadap pertuduhan itu. Yap, Daniel Tan dan Ng dikenakan ikat jamin sebanyak RM200,000 dengan seorang penjamin dan diarahkan untuk menyerahkan pasport mereka.

Ini merupakan kali pertama SC mengambil tindakan jenayah di bawah seksyen 317A (1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007. Di bawah seksyen ini, seseorang pegawai syarikat tersenarai atau mana-mana syarikatnya yang berkaitan, melakukan kesalahan sekiranya dia melakukan apa-apa atau menyebabkan mana-mana individu melakukannya dengan niat menyebabkan kerugian salah kepada syarikat atau syarikatnya yang berkaitan. Pada ketika itu, kesalahan tersebut boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak melebihi RM10 juta.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA


Ooops!
Generic Popup