SC Tuduh Pasangan Suami Isteri kerana Dagangan Orang Dalam
10 October 2017   |   Kuala Lumpur
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengenakan pertuduhan ke atas dua individu atas kesalahan dagangan orang dalam di bawah seksyen 89E(2)(a) Akta Perindustrian Sekuriti 1983.
Goh Keng Huat dan isterinya Wee Siew Ling ditahan di Singapura pada Ahad lalu dengan bantuan Polis Diraja Malaysia dan Pasukan Polis Singapura.

Goh telah dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana memperoleh 851,600 unit saham Road Builder Holdings (M) Bhd (RBH) ketika memiliki maklumat material bukan awam antara 4 September 2006 dan 16 Oktober 2006. Goh ketika itu merupakan Ketua Pasaran Ekuiti, Aseambankers Malaysia Bhd (kini Maybank Investment Bank Bhd).

Goh, yang menghadapi 10 pertuduhan, didakwa telah memperolehi saham RBH melalui akaun-akaun dagangan yang dimiliki oleh Wee. SC turut mengenakan pertuduhan ke atas Wee kerana bersubahat dengan Goh dengan membenarkan akaunnya digunakan oleh Goh bagi tujuan memperoleh saham-saham tersebut.

Kedua-duanya memohon untuk dibicarakan terhadap kesemua pertuduhan. Goh dan Wee dibenarkan ikat jamin masing-masing sebanyak RM500,000 dengan dua penjamin. Kes ini telah ditetapkan untuk pendengaran pada 6 Disember 2017.

SC mendakwa bahawa maklumat bukan awam yang dirujuk dalam semua pertuduhan tersebut adalah berkaitan dengan cadangan pemerolehan kesemua aset dan liabiliti RBH oleh IJM Corporation Bhd dengan sejumlah pembayaran untuk pembelian berjumlah kira-kira RM1.56 bilion.

Kesalahan dagangan orang dalam boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak melebihi RM1 juta. Individu yang bersubahat dengan individu lain dalam kesalahan tersebut juga boleh dikenakan hukuman yang sama.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA


Ooops!
Generic Popup