SC Umum Enam Pengendali Pembiayaan Antara Rakan Setara
3 November 2016|   Kuala Lumpur
Malaysia negara pertama di ASEAN Kawal Selia Pembiayaan P2P

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini memperkenalkan enam pengendali platform pembiayaan antara rakan setara (P2P) di Malaysia bagi meluaskan saluran pendanaan bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS).


Enam pengendali berdaftar tersebut ialah B2B FinPAL, Ethis Kapital, FundedByMe Malaysia, ManagePay Services, Modalku Ventures dan Peoplender. Pengendali tersebut dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2017. Ini menjadikan Malaysia sebagai negara pertama di rantau ASEAN yang mengawal selia pembiayaan P2P. SC juga merupakan yang pertama menyediakan rangka kerja kawal selia bagi pendanaan ekuiti ramai (ECF) pada 2015. Sehingga Oktober 2016, 11 PKS di Malaysia telah mengumpul sejumlah RM8 juta melalui enam platform ECF tersebut.

SC memperkenalkan ECF pada 2015 untuk menyediakan pembiayaan peringkat awal untuk usahawan peringkat permulaan manakala rangka kerja pembiayaan P2P, yang diperkenalkan pada April tahun ini bertujuan memenuhi keperluan pembiayaan PKS untuk mengumpul modal kerja atau modal bagi mengembangkan perniagaan.

Pada acara tahunan "Persidangan Kewangan Digital SCxSC 2016", Tan Sri Dato' Seri Ranjit Ajit Singh, Pengerusi SC, menampilkan agenda digital SC dalam ucapan pembukaannya.

"Agenda digital SC bermatlamat untuk mencapai empat objektif utama, iaitu meningkatkan akses kepada pembiayaan, menambah penyertaan pelabur, memperkukuh pasaran institusi dan membangunkan ekosistem yang bersinergi. Pembiayaan berasaskan pasaran termasuk P2P dan ECF akan membantu untuk meningkatkan akses kepada pembiayaan bagi para usahawan dan syarikat PKS di Malaysia," kata Ranjit.

Bagi memenuhi keperluan pelaburan generasi digital yang baru muncul dan meningkatkan penyertaan pelabur, SC juga akan memperkenalkan rangka kerja Perkhidmatan Pelaburan Digital pada 2017. Ini akan membolehkan pemegang lesen yang diluluskan untuk menawarkan khidmat pengurusan portfolio berautomasi menurut budi bicara yang lebih kos efektif, saluran boleh diakses dan mudah bagi pelabur untuk mengurus dan mengembangkan kekayaan mereka.

Walaupun SC menggalakkan manfaat kewangan digital, pengawal selia tersebut juga mengambil kira bentuk risiko dan cabaran baharu yang timbul daripada teknologi. Bagi menangani perkara ini, SC telah mengeluarkan rangka kerja risiko siber untuk meningkatkan kesedaran dan menyediakan garis panduan untuk menambah baik daya tahan keseluruhan industri.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA


Ooops!
Generic Popup