SC umum inisiatif penting bersama Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan Dubai

Kuala Lumpur, 15 Ogos 2006

Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini mengumumkan permulaan inisiatif bersama Dubai Financial Services Authority (DFSA), berkenaan persepakatan kawal selia yang dibentuk untuk memudahcarakan urus niaga kewangan Islam antara Dubai International Financial Centre (DIFC) dengan Malaysia.

Inisiatif ini telah diumumkan ketika majlis menanda tangan Memorandum Persefahaman (MoU) antara SC dan DFSA. MoU tersebut akan memudahcarakan kerjasama antara bidang kuasa mengenai penguatkuasaan; pengukuhan saluran pertukaran maklumat, kerjasama dan perundingan; dan menggalakkan inisiatif pembangunan dan latihan.

Pengerusi SC Dato' Zarinah Anwar dan Ketua Eksekutif DFSA, En. David Knott menandatangan MoU tersebut di majlis di Putrajaya, disaksikan oleh Menteri Kewangan Kedua, Yang Berhormat Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Inisiatif bersama tersebut berhasrat menggalakkan pelaksanaan optimal dan keberkesanan kos urus niaga rentas sempadan, dan akan membabitkan usaha terperinci bagi menyeragamkan standard kawal selia antara Malaysia dan DIFC.

Dato' Zarinah berkata, "DIFC berada di kedudukan baik sebagai pintu masuk kepada potensi pertumbuhan pesat rantau Timur Tengah. Dengan kedudukannya sebagai peneraju dalam kewangan Islam, kami berasa bahawa Malaysia berada di kedudukan yang unik untuk membangunkan kewujudan ketara di peringkat antarabangsa dan menawarkan pintu masuk di rantau ini bagi kewangan Islam ke pasaran Selatan dan Timur Asia."

"Bagi kedua-dua bidang kuasa merealisasikan potensi penuh yang ditawarkan oleh pasaran masing-masing kepada peserta pasaran, kita hendaklah menawarkan persekitaran tanpa batasan dan yang memudah cara yang menepati standard antarabangsa. Saya gembira bahawa SC dan DFSA akan memulakan inisiatif persepakatan kawal selia yang amat penting ini," sambung beliau.

Di samping itu, telah diumumkan bahawa DFSA juga akan mempertimbang kelayakan Malaysia sebagai 'Bidang Kuasa yang Diiktiraf' bawah undang-undang pengurusan dananya, yang akan membenarkan dana unit amanah Malaysia dipasarkan dan diagihkan di Dubai. Dato' Zarinah menambah, "Ini merupakan inisiatif penting yang akan menggalakkan lagi pertumbuhan industri pengurusan pelaburan tempatan kita."

Sehingga kini, SC telah menandatangani 24 MoU bersama rakan sejawatan asingnya.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup