MCCG baharu tersebut memberi lebih penekanan kepada usaha penerapan budaya tadbir urus korporat, bukan hanya dalam kalangan syarikat tersenarai, tetapi juga menggalakkan entiti tidak tersenarai termasuk syarikat milik kerajaan, syarikat kecil dan sederhana (PKS) serta pengantara berlesen untuk menerima pakai kod tersebut.
Kod tersebut mempunyai 36 amalan untuk menyokong tiga prinsip iaitu, kepimpinan dan keberkesanan lembaga pengarah; audit, pengurusan risiko dan kawalan dalaman yang berkesan; pelaporan korporat dan hubungan dengan pihak berkepentingan.
"Kod baharu ini merupakan satu pencapaian penting dalam usaha berterusan Malaysia untuk menggalakkan tadbir urus yang baik bagi memastikan kemampanan dan daya tahan pasaran modal. Ia berfungsi sebagai panduan kepada pihak lembaga pengarah untuk mengendali syarikat mereka dan meningkatkan kefahaman mereka mengenai kepentingan tadbir urus korporat," kata Pengerusi SC Tan Sri Ranjit Ajit Singh dalam ucapannya ketika mengumumkan MCCG.
Satu ciri utama kod baharu itu ialah pengenalan pendekatan Memahami, Mengguna Pakai dan Melapor (CARE), dan peralihan daripada "patuh atau menjelaskan" kepada "mengguna pakai atau menjelaskan alternatif". Ini adalah untuk menggalakkan syarikat-syarikat tersenarai memikirkan dan membuat pertimbangan dengan lebih teliti apabila mengguna pakai dan melaporkan mengenai amalan tadbir urus korporat mereka.
MCCG juga mengambil pendekatan yang berbeza dan berkadaran dalam pemakaian kod tersebut dengan mengambil kira perbezaan saiz dan kekompleksan syarikat tersenarai. Kod tersebut kini mengenal pasti amalan dan jangkaan pelaporan tertentu yang hanya terpakai kepada syarikat-syarikat dalam Indeks FTSE Bursa Malaysia Top 100, dan syarikat yang mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM2 bilion atau lebih.
Satu lagi dimensi baharu dalam kod tersebut ialah pengenalan kepada amalan `Peningkatan' ('Step Up') untuk menggalakkan syarikat-syarikat agar berusaha dengan lebih gigih bagi mencapai kecemerlangan korporat. Ini termasuk amalan yang menghendaki Jawatankuasa Audit hanya terdiri daripada pengarah bebas dan penubuhan Jawatankuasa Pengurusan Risiko.
MCCG baharu ini merupakan hasil daripada semakan menyeluruh SC pada 2016 dengan memperolehi input daripada pihak-pihak berkepentingan tempatan dan antarabangsa, pelajaran daripada kegagalan tadbir urus yang lalu dan terkini serta perubahan dalam struktur pasaran dan keperluan perniagaan. Kod yang pertama kali diperkenalkan pada 2000 susulan cadangan oleh Jawatankuasa Kewangan Peringkat Tinggi pada 1999 ini telah disemak semula sebanyak dua kali pada 2007 dan 2012.
Bersama-sama MCCG, SC turut mengumumkan pelan strategik tiga tahun bagi menggariskan keutamaan-keutamaan tadbir urus korporat, yang merangkumi:
- Pengukuhan ekosistem: SC akan bekerjasama dengan pihak berkepentingan untuk menubuhkan Institut Pengarah Korporat Malaysia (ICDM) bagi menyediakan saluran pembangunan profesional bagi para pengarah. Majlis Tadbir Urus Korporat akan ditubuhkan bagi menyelaras semua inisiaitif tadbir urus korporat.
- Memanfaatkan teknologi: SC akan mengguna pakai data besar dan keupayaan kepintaran buatan untuk mengukuhkan fungsi pengawasan korporat dan penguatkua
- Memudahcarakan undian secara elektronik dan pembabitan pemegang saham dari jarak jauh; dan
- membangunkan platform dalam talian bagi memantau dan pelaporan amalan tadbir urus korporat.
- Menggalakkan kepelbagaian gender dalam lembaga pengarah: SC akan bekerjasama dengan kumpulan industri dan pihak berkepentingan untuk meningkatkan penglibatan kaum wanita dalam lembaga pengarah 100 syarikat terbesar di Bursa Malaysia daripada 16.8% ketika ini, kepada 30% menjelang 2020.
- Menerapkan budaya tadbir urus korporat di peringkat awal: SC akan bekerjasama dengan pihak berkepentingan yang berkaitan untuk membangunkan alat/panduan tadbir urus korporat bagi PKS bagi memudahkan mereka menerapkan amalan tadbir urus yang baik. Rangka kerja yang serupa turut akan diperkenalkan kepada pengantara pasaran modal berlesen dan berdaftar. SC juga akan bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi untuk memperkenalkan tadbir urus korporat dalam kurikulum mereka bagi melahirkan pemimpin korporat masa hadapan dengan standard etika yang tinggi.
MCCG tersebut berkuat kuasa hari ini, dan kumpulan pertama syarikat-syarikat yang dijangka melaporkan pemakaian amalan-amalan dalam kod baharu ini ialah syarikat dengan tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017. Untuk maklumat lanjut mengenai MCCG baharu tersebut, layari www.sc.com.my.