SC Umum Pelantikan Kepimpinan Baharu

1 Julai 2022  |  Kuala Lumpur

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengumumkan empat pelantikan kanan baharu bagi membantu ia membina pasaran modal yang lebih relevan, cekap dan pelbagai.

“Saya berbesar hati mengumumkan pelantikan baharu dalam pasukan eksekutif. Gabungan pengetahuan dan pengalaman luas mereka daripada sektor awam dan swasta akan mengukuhkan lagi keupayaan dan keberkesanan SC untuk menggalakkan pertumbuhan pasaran dan integriti dalam persekitaran yang berkembang pesat yang merangkumi kemampanan, persaingan dan inovasi,” kata Pengerusi SC Dato' Seri Dr Awang Adek Hussin.

SC melantik Datin Azalina Adham sebagai Pengarah Eksekutif, Strategi dan Dasar iaitu kumpulan perniagaan yang baru ditubuhkan. Dengan pengalaman luas beliau dalam kewangan dan pasaran modal, Azalina akan membantu memacu hala tuju strategik SC dalam beberapa bidang kritikal termasuk perancangan korporat, pengurusan risiko dan hubungan antarabangsa untuk membangunkan lagi pasaran modal.

SC juga melantik pakar media dan komunikasi Datuk Seri Abdul Jalil Hamid sebagai Pengarah Eksekutif, Komunikasi Strategik dan Pejabat Pengerusi dengan peranan utama untuk meningkatkan libat urus dan strategi komunikasi SC dengan pemegang kepentingan utama.

SC menaikkan pangkat Dr Wong Huei Ching kepada Pengarah Eksekutif, Strategi Digital dan Inovasi. Pelantikan beliau bertujuan memajukan lagi potensi digital dan inovasi ke arah membentuk pasaran modal yang lebih inklusif dan mampan untuk perniagaan dan pelabur. Dr Wong menyertai SC pada tahun 2017 dan telah mengetuai beberapa fungsi utama SC seperti perancangan dan strategi korporat. Beliau telah memainkan peranan penting dalam pembangunan Pelan Induk Pasaran Modal 3.

Selain itu, SC juga melantik Encik Budiman Lutfi Mohamed sebagai Pengarah Penguatkuasaan baharu. Ini selaras dengan sejarah pelantikan pegawai SC dari Jabatan Peguam Negara. Budiman akan mengetuai kerja penyiasatan, pendakwaan dan penguatkuasaan sivil SC.

Seperti yang diumumkan sebelum ini pada 29 April 2022, Puan Yew Yee Tee dan Puan Shamsul Bahriah Shamsudin akan memegang jawatan baharu masing-masing sebagai Ketua Kaunsel dan Pengarah, Pengawasan Pengantara dan Dana.

Yew akan memimpin bahagian dasar, perundangan dan menyediakan sokongan khidmat nasihat strategik bagi perkara berkaitan undang-undang dalaman dan luaran yang melibatkan SC. Sementara itu, Shamsul Bahriah akan bertanggungjawab ke atas pemberian kebenaran dan pelesenan, dan penyeliaan pengantara pasaran.

Semua pelantikan akan berkuat kuasa pada 1 Julai 2022. Untuk memuat turun struktur organisasi SC terkini, sila lawati pautan.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup