SC Umum Peletakan Jawatan Pengerusi Eksekutif Datuk Syed Zaid Albar

28 April 2022  |  Kuala Lumpur

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ingin mengumumkan peletakan jawatan Datuk Syed Zaid Albar sebagai Pengerusi Eksekutif SC, yang akan berkuat kuasa pada 31 Mei 2022.

Sehubungan itu, Datuk Dr Awang Adek Hussin akan mengambil alih jawatan pengerusi bermula 1 Jun 2022.

Datuk Syed Zaid, yang dilantik memegang jawatan tersebut pada 2018, telah menerajui SC selama hampir empat tahun. Sepanjang tempoh perkhidmatannya, Datuk Syed Zaid Albar telah memperkukuh pelbagai proses penyeliaan dan penguatkuasaan di SC bagi mencapai hasil pantas dan berkesan. Banyak pencapaian tadbir urus korporat telah direkodkan, termasuk menyaksikan SC memperluaskan bidang kuasanya untuk memasukkan penguatkuasaan pelanggaran kewajipan fidusiari oleh pengarah syarikat tersenarai awam.

Beliau telah memainkan peranan penting dalam menerajui institusi ini dan pasaran modal sepanjang tempoh mencabar pandemik COVID-19. Di bawah kepimpinan beliau, SC telah mengatur semula keutamaannya bagi membolehkan pengawal selia dan peserta pasaran modal menangani kesan pandemik itu di samping memastikan kestabilan dan kesinambungan pasaran. Datuk Syed Zaid juga telah memberi tumpuan kepada usaha mempergiat inisiatif pembangunan SC khususnya dalam menggalakkan agenda kemampanan, mengembangkan pasaran modal Islam dan memanfaatkan inovasi. Ini disokong oleh pelancaran Pelan Induk Pasaran Modal 3 (CMP3) pada September tahun lalu, yang akan menetapkan nada dan hala tuju SC dalam inisiatif pembangunan dan kawal selia untuk lima tahun akan datang.

“Peluang dan amanah untuk berbakti kepada negara dengan mengetuai sebuah institusi yang kukuh dan berintegriti seperti Suruhanjaya Sekuriti merupakan satu penghormatan dan keistimewaan bagi saya. Saya mengalu-alukan pelantikan Datuk Dr Awang Adek, dan mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau dalam peranan baharunya sebagai pengerusi SC seterusnya,” kata Datuk Syed Zaid Albar.

Beliau menambah, “Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Lembaga Pengarah SC, pasukan kepimpinan dan pegawai serta seluruh kakitangan SC. Integriti, profesionalisme dan dedikasi mereka telah teruji dan mereka telah berjaya membuktikannya melalui usaha gigih yang dilaksanakan demi memastikan kestabilan dan kesinambungan pasaran modal.”

Bagi pihak SC, ahli-ahli Lembaga Suruhanjaya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Datuk Syed Zaid atas komitmen yang tidak berbelah bahagi dan sumbangan yang tidak ternilai kepada SC sepanjang tempoh perkhidmatan beliau.

SURUHANJAYA SEKURITI  MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup