Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SC, Datuk Zainal Izlan Zainal Abidin, kini mempunyai penyeliaan langsung terhadap fungsi pengawasan dan pemantauan serta kumpulan urusan Sumber Korporat yang diperluaskan, yang kini merangkumi jabatan Teknologi dan Pembangunan Manusia dan Organisasi.
Nadiah Abdullah telah dilantik sebagai Pengarah Eksekutif Sumber Korporat SC yang baharu berkuat kuasa 5 Ogos 2019. Beliau menggantikan Tengku Zarina Tengku Chik, yang memegang jawatan baharu sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Securities Industry Development Corporation (SIDC) berkuat kuasa 1 September 2019. Nadiah mempunyai pengalaman lebih 25 tahun dalam pengurusan perundingan, transformasi korporat, kepimpinan dan pengurusan bakat serta integrasi perniagaan dan teknologi Accenture Sime Darby Bhd dan AirAsia Bhd.
Sejajar dengan visi SC untuk menggalakkan inovasi bagi memacu kelebihan daya saing dalam pasaran modal, kumpulan urusan Pembangunan & Pasaran Islam akan diasingkan bagi memudahcarakan tumpuan yang lebih jelas terhadap pembangunan jangka yang lebih panjang bagi pasaran modal dan pasaran modal Islam yang lebih meluas.
Salmah Bee Mohd Mydin, yang telah berkhidmat dengan SC selama 25 tahun dalam pelbagai peranan termasuk penguatkuasaan, pengawasan dan pelesenan, telah dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Eksekutif kumpulan urusan Pembangunan Pasaran berkuat kuasa 1 Ogos 2019. Untuk membangunkan lebih banyak dasar menyeluruh yang akan memacu pertumbuhan masa depan dan daya saing pasaran modal, kumpulan urusan Pembangunan Pasaran akan mengendalikan perancangan dan strategi korporat keseluruhan SC. Fungsi ni akan diketuai oleh Dr Wong Huei Ching, yang telah dinaikkan pangkat sebagai Pengarah.
Sharifatul Hanizah Said Ali, Ketua Pegawai Eksekutif SIDC ketika ini, akan menyertai SC sebagai Pengarah Eksekutif untuk mengetuai kumpulan urusan Pembangunan Pasaran Modal Islam berkuat kuasa 10 Ogos 2019. Sharifatul Hanizah, seorang ahli profesional industri perkhidmatan kewangan dengan pengalaman lebih tiga dekad, akan ditugaskan untuk mengenal pasti bidang pertumbuhan baharu bagi pasaran modal Islam ke arah kedudukan di peringkat global yang bersedia menghadapi masa hadapan.
Untuk memupuk inovasi kewangan yang lebih meluas melalui penggunaan teknologi, kumpulan urusan Strategi Digital dan Inovasi yang disusun semula akan menyatukan usaha SC dalam menggalakkan model pembiayaan berasaskan pasaran yang inovatif dan memantau persekitaran risiko siber yang semakin berkembang.
Untuk senarai penuh pasukan pengurusan kanan dan struktur organisasi terkini SC, layari www.sc.com.my