Platform dagangan dalam talian bagi pasaran tidak tersenarai, yang dibangunkan melalui rundingan bersama pihak berkepentingan utama termasuk agensi kerajaan dan sektor swasta, merupakan salah satu langkah yang dikenal pasti dalam Pelan Induk Pasaran Modal 2 bagi menangani keperluan satu platform sekuriti tidak tesenarai bagi menyediakan modal risiko jangka panjang dan mengembangkan asas pembiayaan bagi inovasi dan syarikat tempatan.
Lebih 100 peserta pasaran menghadiri taklimat industri yang diadakan di SC pada hari ini.
Platform tersebut dijangka akan menjadi satu saluran sehenti bagi penjanaan modal dan dagangan sekuriti bagi syarikat di peringkat permulaan dan entiti kecil sehingga sederhana. Platform melalui pendekatan modular dan berfasa tersebut juga akan merangkumi pelbagai produk pelaburan alternatif apabila rangka kerja perundangan bagi dagangan masing-masing tersedia.
Dengan menggunakan peralatan teknologi dan media sosial, rangka kerja tersebut juga disokong oleh platform Perantara maklumat (`
Infomediary’) bagi menyediakan hubungan penting dan perkhidmatan bagi pasaran maya bersepadu.
Secara kolektifnya, dagangan dalam talian dan platform `
Infomediary’ akan menghubungkan pasaran modal kepada pelbagai produk alternatif pelaburan, termasuk usaha sama inovatif, usaha kreatif dan pelaburan yang bertanggungjawab secara sosial. Platform tersebut akan melengkapi dan menyokong pelbagai usaha pembangunan dan inisiatif yang sedang dilaksanakan oleh kedua-dua pihak agensi kerajaan dan sektor swasta.
SC juga telah mempelawa pihak yang berminat untuk mengemukakan cadangan untuk mengendalikan platform tersebut. Untuk maklumat lanjut mengenai MyULM, klik di sini.
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA