SC Umum Rangka Kerja Sukuk Baharu Bagi Memudahcara Peralihan Syarikat kepada Sifar Bersih

30 Jun 2022  |  Kuala Lumpur

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini melancarkan Rangka Kerja Sukuk Berkaitan Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) bagi memudahcarakan pengumpulan dana oleh syarikat dalam menangani kebimbangan berkenaan kelestarian seperti perubahan iklim atau agenda sosial, dengan ciri-ciri yang berkaitan dengan komitmen prestasi kemampanan penerbit.

Dengan pencepatan peralihan ke arah membangunkan masa depan yang berdaya tahan iklim, industri dengan kadar pelepasan yang tinggi berisiko tinggi untuk dihentikan. Sukuk berkaitan SRI akan membolehkan syarikat dalam industri ini serta industri lain beralih kepada ekonomi rendah karbon atau sifar bersih. Pada 31 Disember 2021, bon lestari global belum tebus telah melebihi US$1 trilion di mana bon berkaitan kelestarian adalah berjumlah US$118.8 bilion1.

Rangka Kerja ini merupakan lanjutan kepada inisiatif di bawah Pelan Hala Tuju SRI yang diperkenalkan pada 2019 untuk meluaskan penawaran produk SRI. Yang lebih penting, inisiatif ini mencerminkan komitmen SC untuk meluaskan jangkauan Pasaran Modal Islam (ICM) kepada pemegang kepentingan ekonomi yang lebih besar dan membina ekosistem ICM yang menyokong agenda kelestarian.

SC memperakui peluang besar bagi pasaran untuk menarik minat para penerbit dan pelabur untuk melaksanakan pelbagai projek lestari.

Pengerusi SC Dato’ Seri Dr Awang Adek Hussin berkata, “Rangka Kerja Sukuk SRI akan menggalakkan mobilisasi yang lebih besar bagi pembiayaan sektor swasta dan penerbit ke arah pembangunan lestari dan bagi memenuhi permintaan global untuk pembiayaan lestari yang semakin meningkat. Ini adalah selaras dengan inisiatif yang digariskan dalam Pelan Induk Pasaran Modal 3 untuk mengukuhkan cadangan nilai Malaysia sebagai pusat serantau bagi SRI patuh Syariah.”


Di bawah Rangka Kerja tersebut, hasil yang dikumpulkan boleh digunakan untuk tujuan umum, tertakluk kepada komitmen penerbit terhadap penambahbaikan masa depan untuk hasil kelestarian dalam garis masa yang telah ditetapkan. Ini akan dipantau menggunakan petunjuk prestasi utama (KPI). Ciri atau struktur kewangan sukuk SRI mungkin berbeza-beza berdasarkan kemampuan atau prestasi penerbit dalam memenuhi KPI dan matlamat kelestariannya.

Rangka Kerja ini turut menyediakan lebih ketelusan kepada pelabur dengan menghendaki penerbit melantik penyemak luaran sebelum penerbitan dan pengesah bebas pascapenerbitan untuk menilai pematuhan terhadap rangka kerja dan prestasi kelestarian penerbit yang boleh dipantau oleh pelabur.

Butiran lanjut mengenai keperluan sukuk berkaitan SRI dinyatakan dalam Garis Panduan Produk Pasaran Modal Tidak Tersenarai di bawah Rangka Kerja Serah dan Simpan dan Garis Panduan Terbitan Bon Korporat dan Sukuk kepada Pelabur Runcit, yang boleh dimuat turun di sini.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA


1Sumber: Sustainable Debt Global State of the Market 2021, Climate Bond Initiative.
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup