Seminar setengah hari itu menghimpunkan lebih 100 pembuat dasar, pengawal selia dan pengurus dana dari Hong Kong dan Malaysia bagi membincangkan topik meluas berkaitan dengan dana Islam dan kewangan Islam, daripada isu-isu praktikal seperti aspek penstrukturan dan pengawalseliaan dana Islam sehinggalah kepada pandangan makro mengenai landskap industri dana Islam.
Seminar itu bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama rentas sempadan di antara dua pasaran dalam kewangan Islam, terutama dalam bidang pengurusan dana.
“Seminar bersama ini merupakan platform terbaik bagi pemimpin pasaran dan profesional pasaran modal yang lain dari Malaysia dan Hong Kong untuk bertukar-tukar pandangan dan meneroka banyak peluang yang dapat ditawarkan melalui hubung kait di antara Hong Kong dan Malaysia,” kata Datuk Ranjit Ajit Singh, Pengerusi SC.
“Malaysia merupakan pintu masuk dana Islam ke Asia,menghubungkan Timur Tengah dan Eropah kepada dunia di sebelah sini. Pada masa Hong Kong boleh mencungkil kebolehan pengurusan dana Islam Malaysia, Malaysia pula boleh mendapat manfaat daripada kekuatan Hong Kong sebagai pusat kewangan antarabangsa,” katanya.
“Kombinasi yang kukuh ini boleh menambah dimensi baharu kepada pasaran Kewangan Islam global. Hari ini, kita juga melihat pelancaran dana terimbang Islam pertama di Hong Kong bawah Perjanjian Pengiktirafan Bersama di antara SFC dan SC. Kita akan terus menjalin kerjasama erat dengan SFC dan bekerja bersama pemegang kepentingan lain bagi mengukuhkan rundingan Kewangan Islam Hong Kong - Malaysia,” tambah beliau.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Eksekutif, Produk Pelaburan, Antarabangsa dan China SFC, Puan Alexa Lim pula berkata, Hong Kong berminat untuk membangunkan lagi pasaran kewangan Islamnya.
“Kami melihat kewangan Islam sebagai satu cadangan berharga yang boleh menyumbang kepada inovasi dan kepelbagaian dalam pasaran kewangan Hong Kong,” katanya. “Infrastruktur yang teguh dan reputasi kami yang bertaraf dunia serta kelebihan sebagai penggerak pertama dalam kewangan dan produk renminbi, semuanya tergabung untuk menjadikan Hong Kong sebagai sebuah platform yang sangat baik bagi membangunkan lagi produk-produk kewangan Islam untuk ditawarkan kepada pelabur domestik dan antarabangsa.”
“SFC dan SC telah pun mempunyai hubungan rapat dan bermanfaat bagi kedua-dua pihak,” tambah Lam. “SFC akan terus bekerjasama dengan SC, serta komuniti kewangan Islam global bagi membangunkan platform kewangan Islam Hong Kong,” tambahnya
Peristiwa itu menandakan kerjasama berterusan di antara SC dan SFC dalam bidang pasaran modal Islam yang akan terus meliputi inisiatif pembinaan kapasiti dan penggalakan program-program pendidikan yang berkaitan dengan skim kolektif Islam dan produk-produk Islam lain.
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA