Seminar Sabtu SIDC bermula di Kota Bharu

Kuala Lumpur, 10 Januari 2002

Pusat Perkembangan Industri Sekuriti (SIDC) Suruhanjaya Sekuriti akan menganjurkan Seminar Sabtunya yang pertama bagi tahun 2002 di Kota Bharu pada 19 Januari. Seminar bertajuk, "Trading on the Kuala Lumpur Stock Exchange (KLSE): An Update" tersebut akan diadakan di Hotel Renaissance Kota Bharu, Kelantan.

Seminar tersebut akan memberikan para peserta kefahaman asas mengenai undang-undang dan peraturan, mekanisme dagangan dan sistem penjelasan dan penyelesaian Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL). Para peserta juga akan mempelajari jenis-jenis ekuiti yang berbeza dalam pasaran modal dan tindakan korporat yang dilaksanakan bagi terbitan dividen, bonus dan hak.

Pengurus SIDC, Puan Teh Ija Mohd Jalil berkata peserta juga akan mendapat gambaran terperinci mengenai arah aliran pasaran pada masa hadapan dan cabaran yang dihadapi oleh BSKL seperti tempoh penyelesaian yang lebih pendek dan proses demutualisasi yang sedang dilaksanakan. Masa yang cukup akan diberikan kepada para peserta untuk mengajukan soalan.

"Dengan meningkatnya pengetahuan dan kesedaran mengenai risiko dan ganjaran, para pelabur akan mempunyai keyakinan yang lebih tinggi untuk mengambil bahagian dalam pasaran modal," kata beliau.

Seminar di Kota Bharu tersebut akan dikendalikan oleh En. Clement Almaide, Naib Pengerusi, Ketua Bahagian Dagangan (Runcit) K&N Kenanga Berhad, sebuah syarikat broker saham di Kuala Lumpur. Sebelum pelantikan beliau di K&N Kenanga, beliau pernah bertugas di BSKL sebagai Penolong Pengurus Dagangan. Sebagai seorang pakar dalam operasi dagangan, En. Almaide telah mengendalikan kursus bagi Institut Penyelidikan Penganalisis Pelaburan Malaysia (RIIAM) dan SC.

Para pelabur, usahawan, profesional pasaran modal, wakil peniaga, ahli akademik, dan pelajar universiti adalah digalakkan untuk mengambil kesempatan atas peluang yang disediakan ini.

Puan Teh Ija menyatakan bahawa seminar tersebut juga memberikan 10 mata CPE, yang boleh dikumpul oleh wakil peniaga bagi pembaharuan lesen tahun ini.
CPE ialah program Pendidikan Profesional Berterusan SIDC yang diperkenalkan pada Januari 2001 untuk mempertingkatkan kecekapan wakil berlesen dan dalam jangka panjang, mewujudkan satu budaya pendidikan dan pembangunan diri yang berterusan di kalangan mereka. Mata yang dikumpulkan dengan menghadiri kursus-kursus CPE akan menjadi satu syarat bagi pembaharuan lesen wakil-wakil peniaga mulai Julai 2002 dan seterusnya akan merangkumi semua kategori lesen yang lain.

Yuran pendaftaran bagi seminar tersebut ialah RM180 tiap seorang. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Cik Sharizan di talian 03-6204 8598, no. faks : 03-6201 5811 atau e-mel [email protected]. Untuk butiran program terkini, sila klik sini.

Selepas Kota Bharu, seminar Sabtu SIDC seterusnya akan diadakan di Kuala Lumpur pada 26 Januari. Seminar bertajuk "Insights on Behavioural Finance: Know Your Clients" akan diadakan di Bangunan SC di Bukit Kiara.

Seminar Sabtu SIDC merupakan satu siri seminar yang dikendalikan di seluruh negara untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman pelabur mengenai pasaran modal. Ia adalah sejajar dengan usaha SIDC untuk menggalakkan persekitaran pembelajaran yang berterusan, meningkatkan tahap sofistikasi pelabur dan kesedaran orang ramai mengenai pasaran modal.

PUSAT PERKEMBANGAN INDUSTRI SEKURITI

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup