Senarai Sekuriti Terkini Yang Lulus Prinsip Syariah

Kuala Lumpur, 23 Disember 1997

Majlis Penasihat Syariah (MPS) Suruhanjaya Sekuriti (SC) telah meluluskan senarai terkini sekuriti tersenarai di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) yang diklasifikasikan sebagai sekuriti yang diluluskan. Senarai ini berkuatkuasa mulai hari ini. Senarai 476 sekuriti yang diluluskan adalah sebagaimana dilampirkan.

Dalam mengklasifikasikan sekuriti yang diluluskan, MPS telah menggunakan kriteria tertentu. Kajian ditumpukan kepada aktiviti utama sesebuah syarikat yang tersenarai di BSKL. Sekuriti syarikat-syarikat yang menjalankan aktiviti tidak bertentangan dengan prinsip Syariah diklasifikasikan sebagai sekuriti yang diluluskan. Sekuriti sesebuah syarikat akan terkeluar dari senarai sekuriti yang diluluskan berdasarkan kriteria-kriteria berikut:
i. mempunyai operasi yang berteraskan riba seperti yang dijalankan oleh bank perdagangan, bank saudagar dan syarikat kewangan;
ii. mempunyai operasi yang melibatkan aktiviti perjudian;
iii. mempunyai operasi mengeluarkan dan/atau menjual barangan yang haram seperti minuman keras, daging yang tidak halal dan daging khinzir (babi); dan
iv. mempunyai operasi yang melibatkan kegiatan yang mempunyai unsur gharar seperti perniagaan insurans konvensional.
Bagi syarikat dengan aktiviti bercampur, yakni mempunyai unsur yang dibenarkan dengan yang diharamkan oleh Syarak, MPS mempertimbangkannya dari beberapa sudut tambahan, iaitu
v. aktiviti utama syarikat mestilah bukan aktiviti yang bertentangan Syarak sebagaimana yang telah digariskan oleh empat kriteria di atas, manakala unsur haram adalah amat kecil berbanding dengan aktiviti utamanya;
vi. pandangan masyarakat umum tentang imej syarikat berkenaan mestilah baik; dan
vii. aktiviti utama syarikat mempunyai kepentingan dan maslahah kepada umat Islam dan negara manakala unsur haram yang amat kecil melibatkan perkara `umum balwa, `uruf dan hak-hak masyarakat bukan Islam yang diperakukan oleh Islam.
Dalam proses mengklasifikasikan sekuriti tersebut, MPS menerima input dan sokongan daripada SC. SC mendapatkan maklumat syarikat melalui beberapa sumber seperti laporan kewangan tahunan syarikat, borang kajiselidik yang dikeluarkan untuk mendapatkan maklumat terperinci dan juga melalui soalselidik dengan pihak pengurusan syarikat berkenaan. SC melalui MPS akan sentiasa mengawasi aktiviti semua syarikat yang tersenarai di BSKL dari masa ke semasa bagi menentukan statusnya.

Sebagai panduan kepada pelabur, MPS juga ingin menasihatkan pelabur masa yang sesuai untuk melepaskan sekuriti-sekuriti yang tidak diluluskan. Sekiranya semasa pengumuman ini dikeluarkan, nilai sekuriti yang dipegang melebihi nilai semasa ianya dibeli, pelabur yang memegang sekuriti yang tidak diluluskan hendaklah menjualnya dengan segera. Sebaliknya jika nilai sekuriti pada masa itu lebih rendah daripada masa ianya dibeli oleh pelabur, pelabur boleh memegang sekuriti tersebut sehingga modal pelaburan pokok telah diperolehi. Ini adalah berdasarkan garispanduan taubat dan pengambilan modal pokok harta riba sebagaimana yang telah digariskan oleh Allah s.w.t. di dalam al-Quran.

Sila tujukan sebarang pertanyaan kepada Unit Hal Ehwal Korporat SC.

SECURITIES COMMISSION MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup