Forum Pasaran Modal ASEAN Bekerjasama dengan Persatuan Pasaran Modal Antarabangsa Perkenal Piawaian Bon Hijau ASEAN
13 Mac 2017   |   Kuala Lumpur
Forum Pasaran Modal ASEAN (ACMF) hari ini menyokong inisiatif utama yang akan dilaksanakan pada 2017 di bawah Pelan Tindakan ACMF 2016-2020 yang bermatlamat untuk mewujudkan peluang pelaburan dan perniagaan melalui keberkaitan, keterangkuman yang meluas dan daya tahan pasaran modal dalam ASEAN.

Salah satu inisiatif utama yang diluluskan pada mesyuarat ke-26 ACMF hari ini, yang dihoskan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia di Kuala Lumpur, merupakan kerjasama antara ACMF dan Persatuan Pasaran Modal Antarabangsa (ICMA) untuk memperkenalkan piawaian bon hijau ASEAN yang akan diguna pakai di seluruh pasaran modal di ASEAN.

Inisiatif ini akan membolehkan pasaran-pasaran modal ASEAN memanfaatkan kewangan hijau dalam menyokong pertumbuhan serantau yang mampan dan memenuhi minat pelabur terhadap pelaburan hijau dan salah satu usaha ACMF dalam membangunkan kewangan hijau di rantau ini. Piawaian Bon Hijau ASEAN akan dibangunkan berdasarkan Prinsip Bon Hijau (GBP) ICMA. Piawaian ini bermatlamat untuk menyediakan panduan tambahan mengenai penggunaan GBP, meningkatkan ketelusan, ketekalan dan keseragaman bon hijau ASEAN yang akan turut menyumbang kepada pewujudan kelas aset baharu.

ASEAN Kad Skor Tadbir Urus Korporat (Kad Skor) yang baru disemak semula tersebut juga diluluskan oleh ACMF di mesyuarat tersebut. Berdasarkan kepada prinsip baharu dan cadangan Prinsip-Prinsip G20/OECD mengenai Tadbir Urus Korporat, kaedah dan penilaian Kad Skor telah disemak semula dengan mengambil kira meningkatnya jangkaan pelabur dan perkembangan dalam perniagaan dan amalan tadbir urus korporat.

Kad Skor yang disemak semula tersebut akan merangkumi soalan penilaian baharu, wajaran tambahan bagi soalan, terutamanya mengenai Peranan Pihak Berkepentingan dan penyelarasan soalan untuk memberi lebih penekanan terhadap penghayatan tadbir urus korporat. Satu lagi perubahan utama kepada penilaian tersebut adalah pengenalan kepada pengesahan bebas di samping proses semakan rakan setara yang sedia ada. Peningkatan diperkenalkan untuk mengukuhkan kualiti penilaian di samping tumpuan meluas terhadap amalan tadbir urus korporat syarikat dalam semua negara yang mengambil bahagian. Penilaian yang menggunakan Kad Skor yang disemak semula akan bermula pada suku tahun kedua 2017.

ACMF juga meluluskan cadangan untuk menggalakkan lebih banyak pergerakan para profesional pasaran modal di rantau ini dan meningkatkan keberkaitan serantau dengan membenarkan lebih banyak perkhidmatan disediakan kepada pelabur di seluruh rantau ini oleh profesional pasaran modal serantau. ACMF telah mengadakan pembabitan bersama industri melalui Panel Perundingan Industri ACMF (AICP) dalam merumus cadangan-cadangan ini bagi memastikan bahawa ia memenuhi keperluan industri dan akan terus bekerjasama dalam melaksanakannya. Cadangan tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat, bermula dengan perunding pelaburan, penganalisis penyelidikan dan individu yang dilesenkan untuk menjalankan aktiviti pengurusan dana.

ACMF sedang berusaha meningkatkan rangka kerja Skim Pelaburan Kolektif (CIS) ASEAN dengan menyeragamkan lagi standard penzahiran melalui lembaran soroton produk dan prospektus yang sama, dan mengurangkan halangan pelaburan di samping memperluaskan rangkaian CIS ASEAN untuk meliputi amanah pelaburan hartanah.

ACMF terus memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan pembinaan kapasiti di bawah Program Pembangunan Pasaran ACMF (A-MDP) bagi memastikan semua anggota ACMF meraih manfaat daripada keberkaitan pasaran modal serantau. Susulan kejayaan pelaksanaan fasa pertama program kawal selia dalam membangunkan pasaran bon domestik di Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam (anggota CLMV), fasa kedua dijangka akan bermula pada suku tahun ketiga 2017, disasarkan kepada peserta pasaran sektor swasta.

ACMF telah membincangkan langkah-langkah untuk meningkatkan keberkaitan pasaran dan pengalaman pelabur dalam pelaburan serantau, termasuk maklum balas daripada AICP dan cadangan yang diajukan oleh perunding bebas yang dilantik oleh Bank Pembangunan Asia (ADB) atas permintaan ACMF. ACMF akan membincangkan lagi cadangan tersebut bersama pihak berkepentingan yang relevan termasuk bursa-bursa.

Pada mesyuarat ke-26 ini, ACMF memperakui sokongan ADB dalam menyediakan bantuan teknikal kepada beberapa inisiatif termasuk pembinaan keupayaan, Kad Skor Tadbir Urus Korporat dan proses permohonan IOSCO bagi anggota ACMF terpilih.

Nota Editor:
  • ACMF merupakan satu kumpulan pengawal selia pasaran modal di rantau ini yang terdiri daripada kesemua 10 negara anggota ASEAN iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Lao PDR, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam, dan pada masa ini dipengerusikan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
  • Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) telah diwujudkan pada 2015 dan merupakan pencapaian penting dalam agenda integrasi ekonomi serantau. ASEAN mempunyai gabungan penduduk melebihi 622 juta orang dan pada 2014, secara kolektif, ekonomi ketiga terbesar di Asia dan ketujuh terbesar di dunia. Maklumat lanjut mengenai ACMF dan inisiatifnya boleh didapati di laman sesawang ACMF www.theacmf.org.
  • Kumpulan kerja utama yang memacu pelbagai inisiatif ACF termasuk:
  • Kumpulan Kerja Kewangan Hijau: Dipengerusikan bersama oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC) Filipina
  • Pasukan Petugas Tadbir Urus Korporat: Dipengerusikan oleh SEC Filipina
  • Panel Perundingan Industri ACMF: Dipengerusikan oleh SEC Thailand
  • Kumpulan Kerja Pergerakan Profesional: Dipengerusikan oleh SEC Thailand
  • Kumpulan Kerja CIS ASEAN: Dipengerusikan oleh SEC Thailand
  • Kumpulan Kerja Program Pembangunan Pasaran ACMF: Dipengerusikan bersama oleh SC Malaysia dan Otoritas Jasa Keuangan Indonesia
  • Kumpulan Kerja Keberkaitan Bursa Saham ASEAN: Dipengerusikan bersama oleh Pihak Berkuasa Kewangan Singapura dan SEC Thailand


Forum Pasaran Modal ASEAN (ACMF) yang terdiri daripada pengawal selia pasaran modal ASEAN dari sepuluh negara anggota berkumpul hari ini di Kuala Lumpur pada mesyuarat ke-26, yang dihoskan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) .ACMF kini dipengerusikan oleh SC dan Pengerusi, Tan Sri Ranjit Ajit Singh (kedua dari kiri) . Ahli-ahli ACMF lain termasuk Encik Rapee Sucharitakul, Naib Pengerusi ACMF dan juga Ketua Setiausaha Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Thailand (ketiga dari kiri); Puan Tipsuda Thavaramara, Timbalan Ketua Setiausaha, Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Thailand; Encik Eugene Wong, Pengarah Urusan, Kewangan Korporat & Pelaburan SC (pertama dari kiri).

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Ooops!
Generic Popup