Acara tahunan InvestSmart
® Fest selama tiga hari ini bertujuan menyediakan para pelabur dengan asas-asas kukuh yang diperlukan untuk membuat keputusan pelaburan yang mantap, termasuk mengetahui peluang-peluang pelaburan dan melindungi diri mereka daripada skim penipuan pelaburan. Masuk adalah percuma.
InvestSmart
® Fest pada tahun ini akan mengetengahkan gerai-gerai pameran institusi, persatuan dan badan-badan pasaran modal dan penggiat industri serta agensi-agensi kerajaan yang berkaitan yang dihimpunkan di bawah satu bumbung, pelbagai ceramah dan seminar oleh pakar-pakar industri terkemuka. Di samping itu, akan terdapat kaunter perkhidmatan perancangan kewangan yang dipanggil “finplan4u” sepanjang tiga hari tersebut, di mana para pengunjung boleh mendapatkan penilaian mengenai perancangan kewangan mereka di peringkat permulaan secara percuma.
Bersempena penganjuran InvestSmart
® Fest 2017 kali ini, baru-baru ini SC telah melancarkan satu pertandingan video mengenai pencegahan skim penipuan bagi meningkatkan lagi kesedaran mengenai skim-skim pelaburan tidak sah. Orang ramai boleh mengambil bahagian dengan menghantar video yang kreatif dan unik dengan mesej - “Skim Penipuan Boleh Dihindari – Mengurus Jangkaan & Lindungi Kepentingan Anda”. Penyertaan adalah terbuka sehingga 15 September 2017. Penyertaan anda berpeluang untuk memenangi hadiah wang tunai. Butiran lanjut mengenai pertandingan ini boleh didapati di laman Facebook InvestSmartSC dan
www.investsmartsc.my.
Dilancarkan pada 2014, InvestSmart
® merupakan kempen galakan ke arah celik pelaburan yang menyeluruh di bawah inisiatif pemerkasaan pelabur SC bagi membolehkan pembabitan pelabur runcit yang berkeyakinan dan bermaklumat dalam pasaran modal.
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA