Pasukan Petugas ETF diterajui SC Cadang Langkah untuk Rangsang Inovasi dan Tingkat Pertumbuhan Industri
17 Mei 2017   |   Kuala Lumpur
Satu pasukan petugas Dana Dagangan Bursa (ETF) hari ini mengeluarkan satu set cadangan utama yang bertujuan untuk menarik lebih banyak penyertaan pelabur dan memberi insentif bagi penerbitan oleh pengurus ETF dalam pasaran Malaysia.

Objektif pasukan petugas tersebut – yang dipengerusikan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan terdiri daripada Bursa Malaysia, pengurus dana, penggiat pasaran dan pelabur institusi – adalah untuk merangsang pembangunan mampan dan daya saing pasaran ETF Malaysia, dengan memanfaatkan trend pertumbuhan kukuh dan potensi industri ETF di peringkat global.

"Cadangan-cadangan tersebut bermatlamat untuk meningkatkan ekosistem dan memacu pertumbuhan industri ETF di Malaysia. SC akan bekerjasama dengan pihak berkepentingan yang berkaitan untuk melaksanakan langkah-langkah ini dan membangunkan pasaran ETF yang lebih rancak yang memberi lebih banyak peluang dan pilihan kepada pelabur dan penerbit serta menggalakkan penyertaan yang lebih terangkum dalam pasaran modal Malaysia," menurut Zainal Izlan Zainal Abidin, Pengarah Urusan Pembangunan & Pasaran Islam SC dan pengerusi pasukan petugas tersebut.

Cadangan-cadangan tersebut, antara lain, termasuk memudah cara penerbitan dan pelaburan, membolehkan inovasi produk dan meningkatkan penglibatan pelabur.

Bagi menarik lebih banyak penerbit dan menggalakkan penerbitan ETF, pasukan petugas itu mencadangkan pengurangan kepada keperluan modal minimum bagi penerbit ETF daripada RM10 juta kepada RM2 juta. Langkah lain termasuk pemansuhan keperluan bagi permohonan dibuat oleh penasihat utama, dan pengurangan masa ke pasaran dalam proses penerbitan.

Pasukan petugas juga mencadangkan agar saluran pengedaran ETF diperluaskan dengan membenarkan institusi kewangan, platform dalam talian dan perancang kewangan untuk menawarkan ETF kepada pelanggan melalui syarikat broker saham. Penggunaan saluran pengedaran alternatif ini akan menyediakan akses yang lebih luas kepada pelabur kepada rangkaian produk yang lebih dipelbagai pada kos kemasukan yang lebih rendah.

Bagi menggalakkan inovasi produk, pengenalan jenis-jenis baharu ETF, termasuk memudahcarakan ETF yang berasaskan niaga hadapan dan berasaskan komoditi konvensional. Ini akan menyediakan kemasukan yang berpatutan bagi peruncit dalam pelaburan yang sebelum ini sukar untuk diakses. Pasukan petugas juga mencadangkan lebih banyak kelonggaran dari segi strategi pelaburan termasuk pengenalan ETF Dileveraj dan Pembalikan.

Untuk meningkatkan kesedaran pelabur dan pemahaman terhadap ETF, Bursa Malaysia akan mempergiat pameran bergerak dan program pendidikan pelaburnya di seluruh negara untuk menarik penglibatan, dan memastikan bahawa pelabur berpengetahuan dan bersiap sedia sepenuh untuk dagangan ETF.

Menyedari pentingnya peranan penggiat pasaran dalam ekosistem dalam menyediakan kecairan dagangan kepada ETF, SC dan Bursa Malaysia menyediakan rebat dan pengecualian fi berkaitan yang terpakai bagi penggiat pasaran ETF, termasuk 100% rebat fi penjelasan yang dikenakan oleh pihak SC dan Bursa Malaysia.

Pelbagai inisiatif dan cadangan pasukan petugas itu, seperti yang diluluskan oleh SC, akan dilaksanakan pada penghujung 2017.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA


Ooops!
Generic Popup