SC Terus Memacu Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI), Keluarkan Garis Panduan Baharu mengenai Dana SRI
19 Disember 2017   |   Kuala Lumpur
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengeluarkan Guidelines on Sustainable and Responsible Investment (SRI) Funds (Garis Panduan Dana Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab) bagi memudahcarakan dan menggalakkan lagi pertumbuhan dana SRI di Malaysia. Garis Panduan baharu tersebut – yang membolehkan dana-dana dikelaskan sebagai dana SRI – akan memperluas rangkaian produk SRI dalam pasaran dan menarik lebih ramai pelabur dalam segmen SRI.
“Pasaran modal memainkan peranan penting dalam memudahcarakan pengumpulan dana dan pelaburan bagi inisiatif-inisiatif mampan. Pengenalan Garis Panduan Dana SRI merupakan satu lagi langkah ke arah membangunkan ekosistem SRI dalam pasaran modal Malaysia, mengukuhkan kedudukannya dalam segmen SRI serantau serta kepimpinan dalam kewangan Islam di peringkat global,” kata Tan Sri Ranjit Ajit Singh, Pengerusi SC.

"Pembangunan ekosistem SRI merupakan bidang keutamaan SC beberapa tahun kebelakangan ini. Kami mula mengenal pasti segmen ini sebagai bidang pertumbuhan utama bagi pasaran modal Malaysia pada 2011 di bawah Pelan Induk Pasaran Modal, dan pada 2014, rangka kerja Sukuk SRI telah diperkenalkan, dan kini diperakui secara meluas sebagai pembangunan kawal selia perintis yang secara rasminya menyepadukan prinsip Syariah dan prinsip SRI,” tambah Ranjit. Pada Julai 2017, sukuk hijau pertama di dunia telah dikeluarkan di Malaysia di bawah rangka kerja Sukuk SRI.

Dengan pengiktirafan dana-dana Islam sebagai sebahagian daripada SRI, Malaysia kini merupakan pasaran dana SRI terbesar di Asia (tidak termasuk Jepun). Ia mempunyai 30% daripada aset dana sebanyak AS$52 bilion di rantau ini. Malaysia juga merupakan pasaran dana Islam kedua terbesar di dunia (mengikut domisil) iaitu sebanyak 29% daripada jumlah keseluruhan aset di bawah pengurusan (AUM) global bernilai AS$56 bilion.

Garis Panduan ini akan diguna pakai untuk produk-produk dana di bawah pengawasan SC, seperti dana unit amanah, dana amanah pelaburan hartanah, dana dagangan bursa, dan dana modal teroka dan ekuiti persendirian. Garis Panduan ini juga akan memperkenalkan keperluan penzahiran dan pelaporan tambahan yang bertujuan untuk menggalakkan lebih ketelusan terhadap dasar dan strategi pelaburan dana SRI. Pengurus-pengurus dana SRI yang layak di bawah Garis Panduan ini layak mendapat insentif cukai seperti yang diumumkan dalam Bajet 2018 baru-baru ini. 

Garis Panduan ini boleh digunakan untuk dana-dana konvensional dan patuh Syariah. Ini akan memanfaatkan kedudukan Malaysia sebagai pusat serantau bagi SRI patuh Syariah, iaitu salah satu teras strategik yang dikenal pasti di bawah Rangka Tindakan Pengurusan Dana dan Kekayaan Islam SC yang dilancarkan awal tahun ini. Garis Panduan ini boleh didapati di www.sc.com.my

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA


Ooops!
Generic Popup