SIDC anjur seminar mengenai Undang-Undang Sekuriti Malaysia

Kuala Lumpur, 23 Julai 2001

Pusat Perkembangan Industri Sekuriti (SIDC) akan menganjurkan satu seminar mengenai undang-undang yang mentadbir pasaran sekuriti Malaysia pada 28 Julai 2001. Seminar bertajuk "Memahami Undang-Undang Sekuriti Malaysia - Satu Gambaran Keseluruhan", merupakan sebahagian daripada siri Seminar Sabtu SIDC dan akan diadakan di Bangunan Suruhanjaya Sekuriti di Kuala Lumpur.

Naib Presiden Eksekutif Hal Ehwal Korporat dan Perundangan Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL), Encik Izlan Izhab akan mengendalikan seminar tersebut. Encik Izlan berkhidmat dengan BSKL selama 15 tahun dari 1985 hingga 2000.

Seminar tersebut bertujuan memberikan peserta kefahaman asas mengenai undang-undang sekuriti dan bagaimana undang-undang ini memperuntukkan perlindungan kepada para pelabur. Ia akan memberi manfaat kepada ahli akademik, para pelajar dan calon-calon yang membuat persediaan bagi peperiksaan Wakil Peniaga Pelatih. Ia juga merupakan satu bentuk pendidikan yang berharga kepada pelabur awam.

"Para pelabur boleh mempertingkatkan kefahaman mereka mengenai undang-undang sekuriti dan dalam berbuat demikian, menjadi lebih peka mengenai hak dan tanggungjawab mereka," kata pengurus SIDC, Puan Teh Ija Jalil.


Puan Teh Ija menambah seminar tersebut memberikan 10 mata CPE, yang mana wakil-wakil peniaga boleh kumpulkan untuk pembaharuan lesen pada tahun hadapan. CPE merupakan program Pendidikan Profesional Berterusan yang diperkenalkan pada Februari 2001 bagi mempertingkatkan kecekapan semua wakil berlesen dan dalam jangka panjang, mewujudkan satu budaya pendidikan dan pembangunan diri berterusan di kalangan mereka. Mata yang dikumpulkan dengan menghadiri kursus-kursus CPE akan menjadi satu syarat bagi pembaharuan lesen wakil-wakil peniaga pada Julai 2001 dan seterusnya akan meliputi semua kategori lesen yang lain.

Yuran pendaftaran bagi seminar tersebut ialah RM200 tiap seorang. Bagi yang berminat, sila hubungi Encik Zairulnizad di no. tel: 03-62048000, no. faks: 03-62048008 atau e-mel Zairulnizad Shahrim.

PUSAT PERKEMBANGAN INDUSTRI SEKURITI

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup