SIDC anjur seminar Sabtu bagi menggalak kefahaman mengenai niaga hadapan dan opsyen

Kuala Lumpur, 18 September 2001

Pusat Perkembangan Industri Sekuriti (SIDC) akan menganjurkan seminar bertajuk "Understanding Futures and Options - Trading in the Malaysian Derivatives Market" sebagai sebahagian daripada siri Seminar Sabtunya. Seminar setengah hari ini akan diadakan di Bangunan Suruhanjaya Sekuriti (SC) pada 22 September 2001.

Seminar ini bertujuan memberikan peserta kefahaman asas mengenai pelbagai instrumen derivatif yang terdapat di pasaran Malaysia, terutamanya dari segi penggunaan instrumen ini untuk melindungi nilai portfolio dan mengurus risiko.

Sejajar dengan ini, seminar tersebut akan membincangkan, antara lain:

  • perkembangan terkini pasaran derivatif Malaysia;
  • prinsip dan aplikasi asas mengenai penggunaan niaga hadapan bagi tujuan lindung nilai, spekulasi dan arbitraj;
  • strategi opsyen dan peletakan harga; dan
  • Peraturan Perniagaan Bursa Derivatif Malaysia Bhd (MDEX).

Seminar itu akan dikendalikan oleh Encik Hamzah Mahmood, Pengarah Bahagian Urus Niaga di Kenanga Deutsche Futures Sdn Bhd (KDMG), yang mempunyai pengalaman dan pengetahuan luas mengenai industri derivatif Malaysia, khususnya dalam dagangan niaga hadapan dan opsyen. Encik Hamzah juga merupakan ahli Majlis Penasihat Pasaran Modal (CMAC), yang menasihati SC berkenaan isu-isu yang berkaitan dengan pelaksanaan Pelan Induk Pasaran Modal.

Sebelum pelantikan beliau di KDMG, Encik Hamzah merupakan Penolong Naib Presiden Paine Webber International (S) Pte Ltd dan telah berurusan dengan berbagai pelanggan dari bank-bank pusat, institusi kewangan dan syarikat besar di rantau Asia Tenggara. Beliau ialah Ketua Dagangan Derivatif di Saudi British Bank di Riyadh, Arab Saudi di mana beliau telah terlibat dalam penubuhan kaunter derivatif bagi menjalankan dagangan proprietari dan menyediakan khidmat nasihat profesional kepada pelanggan korporat dengan menggunakan produk derivatif dalam aktiviti lindung nilai.

Seminar tersebut memberi manfaat kepada ahli akademik, pelajar dan calon-calon yang membuat persediaan bagi peperiksaan Niaga Hadapan dan Opsyen SIDC, dan para pelabur awam.

Seminar itu memberikan lima mata CPE yang boleh dikumpulkan oleh wakil-wakil peniaga bagi pembaharuan lesen tahun hadapan. CPE merujuk kepada program Pendidikan Profesional Berterusan SIDC yang telah diperkenalkan pada Januari 2001 bagi meningkatkan kecekapan wakil peniaga berlesen dan dalam jangka panjang, mewujudkan budaya pendidikan berterusan dan pembangunan diri di kalangan mereka. Mata yang diperolehi dengan menghadiri kursus-kursus CPE akan menjadi satu syarat bagi pembaharuan lesen wakil peniaga mulai Julai 2002 dan akhirnya akan merangkumi semua kategori lesen yang lain.

Bayaran pendaftaran ialah RM150 tiap seorang. Diskaun istimewa diberikan kepada pelajar (bayaran pendaftaran - RM50 tiap seorang). Sesiapa yang berminat, boleh menghubungi Zairulnizad Shahrim di talian: 03-62048596, faks: 03-62015811 atau e-mel [email protected]. Untuk butir terkini program, sila klik sini.

PUSAT PERKEMBANGAN INDUSTRI SEKURITI

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup