SIDC Anjur Seminar Sabtu untuk Pertingkat Pengetahuan Pelabur Mengenai Strategi Pelaburan dan Pengurusan Risiko

Kuala Lumpur, 9 April 2003

Pusat Perkembangan Industri Sekuriti (SIDC) Suruhanjaya Sekuriti akan menganjurkan satu seminar mengenai Strategi Pelaburan dan Pengurusan Risiko untuk Pelabur pada 12 April 2003 di Hotel Renaissance, Melaka.

Seminar ini, yang merupakan sebahagian daripada siri Seminar Sabtu SIDC, akan memberikan peserta pemahaman mengenai pelbagai bentuk strategi pengurusan risiko yang digunakan oleh pengurus pelaburan profesional dan bagaimana strategi ini diguna pakai untuk meminimumkan risiko kerugian. Para peserta juga akan mempelajari jenis-jenis risiko pelaburan dan teknik-teknik mengurus risiko ini, serta bagaimana kepelbagaian boleh mengurangkan tahap risiko pelaburan.

"Pelabur perlu tahu bahawa pelaburan memberikan kedua-dua manfaat dan risiko. Oleh itu, adalah penting bagi mereka (pelabur) mengurus risiko pelaburan dengan betul untuk mengoptimumkan manfaat daripada pelaburan mereka,” kata Pengurus SIDC, Teh Ija Jalil.

“Apabila anda mempelbagaikan portfolio pelaburan ke dalam pelbagai sektor, kelas aset atau industri yang berbeza, dan pada masa yang sama, menggunakan strategi pengurusan risiko, secara sistematik anda meminimumkan tahap risiko pelaburan portfolio anda,” kata beliau.

Untuk memberikan lebih kefahaman mengenai perkara tersebut, seminar tersebut juga memberikan peserta pengalaman secara terus dalam strategi pengurusan risiko portfolio and profil risiko seseorang pelabur.

Seminar tersebut akan dikendalikan oleh Geoffrey Ng, Ketua Latihan, Asset Management Business Intelligence Sdn. Bhd (AMBIT), sebuah syarikat pengurusan maklumat dan amalan terbaik pengetahuan perniagaan dalam bidang khidmat kewangan.

Pelabur, wakil peniaga, wakil broker niaga hadapan, ahli akademik, setiausaha syarikat, penganalisis kewangan, perancang kewangan, penasihat pelaburan, pelajar universiti dan orang ramai adalah digalakkan untuk menghadiri seminar ini. Seminar ini juga memberikan 10 mata CPE yang boleh dikumpulkan oleh wakil peniaga dan lain-lain kategori wakil berlesen untuk pembaharuan lesen mereka.

Yuran pendaftaran ialah sebanyak RM180. Mereka yang berminat boleh menghubungi Khidmat Korporat SIDC di nombor tel: (03)-6204 8669/8667, faks: (03)-6201 8008 atau e-mel: [email protected].

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup