SIDC Lancarkan Program "IQ BIJAK LABUR"

Kuala Lumpur, 4 Oktober 2005

Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk membina masyarakat pelaburan yang celik dan arif tentang kewangan di Malaysia, Pusat Perkembangan Industri Sekuriti (SIDC), bahagian latihan dan pendidikan Suruhanjaya Sekuriti (SC) telah melancarkan program "IQ Bijak Labur".

"Pasaran modal semakin kompleks pada tahun-tahun kebelakangan ini dengan adanya produk dan strategi pelaburan yang semakin canggih. Justeru, pelabur perlu meluangkan masa mendapatkan maklumat terkini dan meningkatkan pengetahuan mereka untuk memanfaatkan sepenuhnya pelaburan di samping mengurangkan risiko sambil melindungi diri mereka daripada penipuan," kata Pengerusi SC, Tan Sri Md Nor Yusof, yang melancarkan kempen tersebut.

Beliau menyatakan bahawa masih terdapat ramai orang yang perlu memahami dan menghargai ganjaran dan risiko melabur dalam pasaran modal. Berbekalkan pengetahuan yang betul, pelabur yang arif boleh membuat keputusan pelaburan yang sesuai dengan toleransi risiko masing-masing, dan meneroka potensi peluang pelaburan lain yang berdaya maju.

Tan Sri Md Nor menekankan bahawa, "Pelabur bijak adalah aset penting kepada pasaran modal Malaysia. Mereka tidak boleh bersikap sambil lewa tentang pelaburan mereka jika ingin mendapatkan ganjaran terbaik daripada peluang pelaburan. Hakikatnya, pelabur mesti bertanggungjawab terhadap wang dan pelaburan mereka."

Program 'IQ Bijak Labur' akan meliputi tempoh tiga tahun dan dibahagikan kepada tiga fasa yang disasarkan kepada tiga kumpulan pelabur. Fasa pertama kempen ini tertumpu kepada pelabur baru; fasa kedua, pelabur pertengahan atau berpengalaman dan fasa terakhir, pelabur berpotensi.

Program 'IQ Bijak Labur' ialah inisiatif penting yang akan digiatkan lagi dengan kerjasama industri pasaran modal. Beberapa kegiatan pendidikan telah dirancang untuk kempen ini, termasuk seminar pelaburan percuma, pameran dan pengedaran buku "Soal Jawab Pelabur Langkah Permulaan Pelaburan" yang menjelaskan amalan dan prinsip pelaburan asas dalam bahasa yang mudah.

SIDC juga akan menyumbang satu siri rencana pendidikan untuk disiarkan dalam akhbar-akhbar utama dan majalah-majalah terpilih untuk mencapai kumpulan pelabur yang lebih luas. Tambahan lagi, pelabur juga boleh layari laman web untuk mendapatkan maklmat lanjut tentang pelaburan bijak di www.min.com.my .

PUSAT PERKEMBANGAN INDUSTRI SEKURITI

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup