SIDC Mempelawa Kertas Penyelidikan bagi Anugerah Pasaran Modal 2004

Kuala Lumpur, 5 April 2004

Pelajar lepasan ijazah dan ahli fakulti institusi-institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara adalah dipelawa untuk mengemukakan kertas penyelidikan bagi Anugerah Pasaran Modal (CMA) 2004 Suruhanjaya Sekuriti.

CMA, yang diperkenalkan pada 1995 dan diuruskan oleh Pusat Perkembangan Industri Sekuriti (SIDC) Suruhanjaya Sekuriti (SC), bertujuan mewujudkan kesedaran dan menggalakkan penyelidikan berkualiti mengenai pasaran modal Malaysia.

Ketua SIDC, Teh Ija Mohd Jalil berkata SC mengambil pandangan menyeluruh dalam memudahcarakan pembangunan pasaran modal, dan menggunakan pendekatan pelbagai serampang untuk mencapai objektifnya, yang mana salah satu daripadanya ialah melalui pembabitan ahli akademik dan pelajar dalam pelbagai aktiviti dan perbincangan.

"Melalui SIDC, kami telah bekerjasama erat dengan universiti untuk membangun sukatan pembelajaran berkaitan pasaran modal dan secara aktif mendapatkan maklum balas mereka dari semasa ke semasa untuk mempertingkat dan membangun kursus dan modul latihan kami," tambah beliau.

"CMA ialah satu lagi platform bagi kami untuk menggalakkan penyelidikan baru dan menjana minat terhadap isu-isu pasaran modal Malaysia, yang kami harapkan dapat diterjemahkan kepada idea-idea dasar yang praktikal," kata beliau.

"Dalam jangka masa panjang, ini akan menggalakkan lagi pembangunan pasaran modal yang kukuh dan sofitikated."

Anugerah CMA dibahagikan kepada dua kategori; satu bagi lepasan ijazah (Peringkat Sarjana atau Falsafah Kedoktoran) dan satu lagi bagi ahli fakulti institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara, dan setiap institusi dibenarkan untuk mengemukakan hanya satu penyertaan bagi setiap kategori. Pemenang bagi setiap kategori akan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM15,000 dan sebuah trofi.

Kertas penyelidikan boleh merangkumi pelbagai aspek pasaran modal, seperti undang-undang, kewangan, perakaunan, ekonomi dan pengurusan. Penyelidikan yang lebih berkesan mengenai isu-isu pasaran modal kontemporari seperti industri unit amanah, pengurusan dana, derivatif dan peminjaman stok juga digalakkan.

Kertas penyelidikan yang dikemukakan bagi Anugerah tahun ini mesti disiapkan dalam tempoh 12 bulan sebelum tarikh tutup pengemukaan, iaitu pada 30 November 2004. Penyertaan boleh dikemukakan dalam bentuk kertas projek, tesis atau disertasi. Penyertaan mesti berdasarkan penyelidikan yang merangkumi, tetapi tidak terhad kepada, pengumpulan data asli melalui kaji selidik dan temuduga, kajian kes asli dan analisis kuantitatif atau kualitatif. Kertas-kertas yang diterbitkan juga layak untuk dikemukakan selagi kertas tersebut diterbitkan dalam tempoh 12 bulan sebelum tarikh tutup pengemukaan. Penyertaan mestilah dibuat melalui institusi pengajian tinggi masing-masing .

Borang permohonan bagi CMA 2004 boleh didapati di tapak web SC di sini. Mereka yang berminat boleh menghubungi Encik Noorhadi Sabarmisi di talian: (603) 6204 8660 atau e-mel: [email protected] untuk maklumat lanjut.

PUSAT PERKEMBANGAN INDUSTRI SEKURITI

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup