SIDC tanda tangan MoU bersama UNITEN

Kuala Lumpur, 29 Mei 2007

Sejajar dengan usaha kerajaan untuk mengurangkan jurang antara pengetahuan dan kemahiran siswazah dari institusi pengajian tinggi dan keperluan industri, Perbadanan Perkembangan Industri Sekuriti (SIDC) telah menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) pada hari Jumaat lalu. Kerjasama ini bertujuan memperkenalkan sukatan pengajian pasaran modal di UNITEN dan juga dilihat sebagai sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan kumpulan sumber bagi pasaran modal.

MoU tersebut ditandatangani oleh Dr Nik ramlah Mahmood, Pengarah SIDC dan Prof. Dato' Ir. Dr. Mashkuri Yaacob, Naib Canselor UNITEN dalam satu majlis di UNITEN. Pelajar UNITEN akan meraih manfaat sepenuhnya kerana akan didedahkan dengan pengetahuan dan kemahiran pasaran modal yang diperlukan oleh industri. Ini sudah tentu meningkatkan lagi kebolehpasaran para siswazah ini apabila mereka mencari kerja kelak. Sokongan SIDC juga diberikan kepada para pensyarah dan pelajar melalui ceramah industri, program latihan, lawatan industri, peperiksaan pelesenan dan lain-lain.

Sehingga kini, tujuh universiti temaptan telah memasukkan sukatan pengajian pasaran modal ke dalam pelbagai program yang ditawarkan di universiti tersebut. Dengan komitmen kukuh daripada SIDC dan UNITEN, adalah diharapkan bahawa kerjasama ini akan menghasilkan individu yang lebih berbakat dengan kemahiran dan kepakaran yang relevan bagi menyokong pertumbuhan berterusan industri pasaran modal.

Di samping MoU ini, SIDC juga telah memuilakan Skim Latihan Siswazah Pasaran Modal (CMGTS), yang mula diperkenalkan pada tahun 2003. Skim tersebut, yang terbuka kepada semua siswazah menganggur, bertujuan memberikan peluang kepada siswazah ini untuk menimba pengetahuan, kemahiran dan pengalaman berguna dalam bidang kemahiran antara peribadi, komunikasi perniagaan dan persekitaran perniagaan Malaysia . Siswazah juga akan diberikan peluang untuk ditempatkan di organisasi yang mengambil bahagian ketika tempoh menjadi perantis untuk memperoleh pengalaman terus dengan industri.

Pengambilan seterusnya bagi CMGTS adalah pada bulan Julai 2007. Siswazah yang berminat untuk menyertai skim ini boleh menghubungi SIDC di talian: 03-6204 8481/8267 (Encik Shahrul Nizam/Encik Zamhoudi) atau e-mel [email protected].

PERBADANAN PERKEMBANGAN INDUSTRI SEKURITI

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup