Pada pelancaran Pentadbir Pencen Swasta tersebut, Perdana Menteri berkata pembangunan industri pencen swasta adalah amat penting bagi memenuhi keperluan persaraan semua rakyat. “Harapan saya adalah untuk memastikan bahawa setiap orang dewasa produktif yang masih muda, dan generasi Malaysia akan datang, mempunyai tabungan dan simpanan aset kewangan yang mencukupi bagi membolehkan mereka menikmati sepenuhnya persaraan mereka nanti. Matlamat kita adalah untuk mempunyai kerangka kerja persaraan pelbagai tunggak yang cergas dan mampan bagi manfaat generasi Malaysia akan datang,” kata Dato’ Sri Mohd Najib.
Penubuhan Pentadbir Pencen Swasta merupakan komponen terakhir dalam kerangka Skim Persaraan Swasta. Ini adalah rentetan daripada penubuhan kerangka perundangan bagi Skim Persaraan Swasta melalui pindaan kepada Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dalam bulan Oktober 2011 dan penerbitan Garis Panduan dan Peraturan Skim Persaraan Swasta dalam bulan April tahun ini serta kelulusan lapan Penyedia Skim Persaraan Swasta.
Skim Persaraan Swasta ialah satu skim simpanan persaraan sukarela yang dibentuk oleh penyedia dana sektor swasta yang mendapat lesen dan kelulusan SC. Dana di bawah skim tersebut juga tertakluk kepada kelulusan SC.
Skim Persaraan Swasta bertujuan untuk memberikan saluran tambahan kepada pekerja dan mereka yang bekerja sendiri untuk membuat simpanan persaraan mereka. Pelbagai jenis dana akan disediakan bagi memenuhi matlamat persaraan dan profil pelaburan individu. Ia juga memberi peluang kepada majikan untuk membuat sumbangan tambahan secara sukarela ke atas simpanan persaraan kakitangan mereka.
Sebagai insentif penyertaan dalam Skim Persaraan Swasta, individu diberikan pelepasan cukai sehingga RM3,000 manakala majikan diberikan potongan cukai ke atas caruman yang dibuat kepada Skim Persaraan Swasta bagi pihak pekerja mereka, di atas daripada kadar yang diwajibkan dan sehingga 19% gaji pekerja. Pengecualian cukai juga diberikan ke atas pendapatan yang diterima daripada dana Skim Persaraan Swasta.
Set pertama skim tersebut mengandungi 24 dana yang disediakan oleh beberapa Penyedia Skim Persaraan Swasta yang diluluskan oleh SC dan akan ditawarkan kepada orang ramai mulai bulan September. Sejajar dengan ini, SC, Pentadbir Pencen Swasta dan Penyedia Skim Persaraan Swasta akan mengadakan siri program pendidikan dan kesedaran pada minggu-minggu yang akan datang bagi memupuk pemahaman dan kesedaran mengenai kerangka Skim Persaraan Swasta dan ciri-ciri utama skim tersebut.
“Sama seperti mana-mana industri baharu, pemahaman mengenai produk yang ditawarkan adalah sangat penting. Oleh itu, amat penting bagi penyumbang dan bakal ahli memperoleh semua maklumat yang relevan supaya mereka dapat membuat keputusan yang berasaskan maklumat, ”kata Datuk Ranjit Ajit Singh, Pengerusi SC.
Puan Zaiton Mohd Hassan telah dilantik sebagai Pengerusi Pentadbir Pencen Swasta yang pertama. Pada masa ini Zaiton ialah Pengarah Urusan Capital Intelligence Advisors Sdn Bhd. Ahli lembaga pengarah yang lain ialah Datuk Nozirah binti Bahari, Dato’ Dr Thillainathan a/l Ramasamy, Encik Ou Shian Waei dan Encik Ahmad Zakie bin Ahmad Shariff.
Sebagai sebuah pusat sehenti, Pentadbir Pencen Swasta akan memainkan peranan penting sebagai infrastruktur yang memudahkan Skim Persaraan Swasta dilaksanakan dengan mewujudkan pentadbiran yang cekap bagi Skim Persaraan Swasta. Pemegang akaun akan mempunyai akses mudah kepada maklumat dan pemindahan dana.
SC mengawal selia dan mengawasi semua pengantara dalam industri Skim Persaraan Swasta, merangkumi Penyedia Skim Persaraan Swasta, Pentadbir Pencen Swasta dan Pemegang Amanah Skim, serta pengedar Skim Persaraan Swasta.
Untuk maklumat lanjut mengenai Skim Persaraan Swasta, sila layari laman sesawang PPA di:
www.ppa.my.
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA