Skim Sukuk SRI dan Geran Bon Diperluas untuk Memudahcara Kewangan Mampan

23 Ogos 2022 |  Kuala Lumpur

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengumumkan peluasan Skim Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) dan Geran Bon (Geran) bagi memudahcarakan syarikat menjana sukuk dalam memenuhi keperluan kewangan mampan mereka. Geran tersebut juga kini diperluaskan kepada sukuk berkaitan SRI yang diterbitkan di bawah Rangka Kerja Sukuk berkaitan SRI (Rangka Kerja) yang diperkenalkan pada Jun 2022.

Peluasan Geran itu akan membolehkan penerbit sukuk berkaitan SRI yang layak untuk mengofset sehingga 90% daripada kos semakan luaran yang ditanggung, tertakluk kepada jumlah maksimum RM300,000 bagi setiap terbitan.

Peluasan itu adalah sebahagian daripada keutamaan Pelan Induk Pasaran 3 untuk memudahcarakan peralihan kewangan yang menyokong komitmen dan aspirasi negara untuk beralih kepada ekonomi rendah karbon dan berdaya tahan iklim. Ia bermatlamat menggalakkan penerbitan sukuk berkaitan SRI oleh syarikat korporat dalam industri intensif karbon ketika mereka beralih ke arah amalan kemampanan yang lebih baik dan aktiviti rendah karbon.

Ditubuhkan pada 2018, Geran tersebut yang dahulunya dikenali sebagai Skim Geran Sukuk SRI Hijau, juga terpakai untuk sukuk yang diterbitkan di bawah Rangka Kerja Sukuk SRI SC dan bon yang diterbitkan di bawah Piawaian Bon Hijau, Sosial dan Kemampanan ASEAN.

Ciri perbezaan utama berkenaan Rangka Kerja ialah keperluan untuk mempunyai semakan luaran sebelum dan selepas terbitan, kerana SC percaya ia adalah penting dalam memberikan pendapat dan pengesahan bebas mengenai objektif mampan penerbit serta keselarasannya terhadap Rangka Kerja tersebut.

Sebagai usaha dalam menggalakkan SRI dan kewangan peralihan, SC dan Pasaran Modal Malaysia, disokong oleh Jawatankuasa Bersama Perubahan Iklim (JC3), hari ini menganjurkan bengkel untuk memberi kefahaman kepada pengantara pasaran modal berhubung keperluan Rangka Kerja dan untuk berkongsi amalan terbaik dalam penerbitan sukuk berkaitan SRI. Bengkel ini merupakan sebahagian daripada "NaviGate: Siri Pembiayaan Hijau Pasaran Modal", program utama SC yang diadakan untuk mewujudkan kesedaran mengenai saluran pembiayaan pasaran modal untuk kemampanan.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup